PENCARIAN MH370 TAMAT PADA KRISMAS INI


KUALA LUMPUR: Hari Krismas adalah tarikh terakhir untuk melengkapkan pencarian pesawat MH370 di kawasan seluas 120,000km persegi di Arc 7 di selatan Lautan Hindi, barat daya Australia.

Dalam satu e-mel terbaharu daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), cuaca buruk menyebabkan pencarian di baki 10,000km persegi terpaksa ditangguhkan.

Setakat ini, pencarian sudah meliputi 110,000km persegi, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama dalam Kemas Kini Operasi Pencarian MH370 bertarikh hari ini.

Menurutnya, perkembangan utama minggu ini termasuk kapal Fugro Equator memasuki kawasan pencarian terbabit, manakala kapal Dong Hai Jiu 101 pula sedang berlabuh di luar Fremantle, bersiap sedia untuk misi seterusnya.

“Ia dijangkakan keadaan cuaca akan bertambah baik sekitar Oktober untuk membolehkan penggunaan kenderaan kawalan jauh (ROV) dari kapal itu.

“Peralatan itu juga akan menyiasat hubungan sonar,” menurut kemas kini daripada Pegawai Komunikasi Operasi Pencarian MH370, Daniel JT O’Malley.

ATSB juga bekerjasama dengan Organisasi Penyelidikan Industri dan Saintifik Komanwel (CSIRO) sejak 18 bulan lalu, bagi mencari lokasi serpihan MH370 hanyut.

Satu kajian intensif akan dijalankan tidak lama lagi.

Fasa pertama ialah melepaskan boya hanyut laut yang digunakan dalam Program Hanyut Global, bersama model flaperon dilengkapi pengesan satelit.

Model itu akan dikesan untuk mewujudkan kadar dan arah hayut berbanding boya hanyut di laut terbuka yang tertakluk kepada angin, arus dan ombak sama.

Program Hanyut Global sebenarnya selama 30 tahun akan digunakan untuk membentuk arah hanyut flaperon itu.

“Ia tidak akan dapat mengenal pasti lokasi pesawat itu secara tepat dengan sendirinya. Bagaimanapun, ia berharap dapat mengenal pasti lokasi spesifik pesawat itu berada, apabila ditambah dengan pengetahuan sedia ada dan sebarang pembelajaran masa depan.”

Pada Julai 2015, satu serpihan ditemui di La RĂ©union, Lautan Hindi berhampiran Madagascar. Ia kemudiannya dihantar ke Perancis.

Pada 3 September 2015, pihak berkuasa Perancis mengesahkan serpihan itu adalah bahagian sayap, satu flaperon daripada sebuah pesawat Boeing 777. Pengenal unik mengenal pasti serpihan berkenaan ialah sebahagian daripada pesawat MH370.

Flaperon itu amat penting. Ia adalah serpihan pertama MH370 yang dijumpai. Sumber