JAWAPAN : YB PUAN HAJAH NANCY SHUKRI
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
Tuan Yang di-Pertua,
1. Pada 11 Julai 2012, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyatakan hasrat Kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 [ atau Akta 15 ] dan menggantikannya dengan suatu Akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
2. Saya ingin menegaskan di sini bahawa dalam menggubal Akta Keharmonian Nasional yang akan dicadangkan ini, atau apa jua nama bersesuaian yang akan digunakan untuk akta itu kelak, Kerajaan tidak akan sama sekali menggadai atau membelakangkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi tulang belakang asas penyatuan rakyat berbilang agama dan kaum yang telah diusahakan serta dijadikan asas kukuh oleh pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan dan pembentukan Negara kita yang tercinta ini.
3. Objektif Akta Keharmonian Nasional bukan sahaja untuk memperkasa undang-undang tetapi juga untuk mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional, termasuklah penghinaan terhadap institusi diraja atau raja.
4. Bagi tujuan ini, Kerajaan kini sedang mendapatkan dan mengumpul pandangan serta maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan berhubung dengan peruntukan yang wajar dimasukkan ke dalam Akta Keharmonian Nasional tersebut.
5. Pihak-pihak yang sedang merunding Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional turut memberi perhatian kepada aspek pencegahan perbuatan menghasut, membangkitkan kebencian, penghinaan yang serius, atau ejekan terlampau, yang melibatkan agama atau bangsa.
6. Sehubungan dengan itu, tarikh sebenar pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan untuk digantikan dengan Akta Kerhamonian Nasional masih belum dapat diputuskan pada masa ini memandangkan perkara tersebut masih sedang dalam kajian dan memerlukan penelitian daripada pelbagai aspek.
7. Perlu diingatkan bahawa proses ini membabitkan penggubalan satu akta yang baru dan bukannya pindaan kecil kepada akta sedia ada. Proses menggubal sesuatu undang-undang bukanlah suatu perkara mudah yang hanya boleh diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat. Ia memerlukan ketelitian, kajian, perbandingan dengan undang-undang yang sedia ada serta perbincangan yang mendalam. Ia juga perlu melihat dari sudut penguatkuasaannya kelak yang melibatkan masyarakat yang berbeza dari segi budaya, agama, bangsa, adat resam, pemikiran dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua,
8. Saya turut ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan Dewan yang mulia ini, serta seluruh rakyat Malaysia di luar sana bahawa Kerajaan melalui Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Mempromosi Keharmonian Nasional, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau National Unity Consultative Council (NUCC) telahpun mengambil dan memulakan inisiatif untuk membincangkan cadangan penggubalan akta baru ini.
9. Memang benar bahawa terdapat beberapa draf cadangan kerja (atau dengan izin, proposed working draft) akta berkenaan telahpun dimajukan kepada saya baru-baru ini. Namun, saya ingin menegaskan kepada dewan yang mulia ini serta seluruh rakyat Malaysia bahawa input daripada draf-draf cadangan kerja berkenaan masih lagi sedang diteliti. Sekiranya ia adalah baik dan sesuai serta boleh dilaksanakan di Negara kita, maka cadangan tersebut akan dipertimbangkan.
10. Proses konsultasi juga masih giat dijalankan dan belum lagi dimuktamadkan, bercanggah dengan dakwaan oleh sesetengah pihak baru-baru ini. Draf undang-undang yang bakal digubal ini merupakan undang-undang yang datangnya dari rakyat untuk rakyat di mana input, pandangan dan cadangan dari rakyat akan diperolehi melalui beberapa siri dialog, perbincangan meja bulat (atau dengan izin, round table discussion) dan sebagainya.
11. Penelitian dan kajian yang menyeluruh adalah penting bagi memastikan suatu undang-undang itu komprehensif dan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Maka dengan itu, saya berpendirian adalah tidak wajar untuk kita menetapkan tarikh akhir, atau dengan izin, deadline untuk akta berkenaan disiapkan. Pada saat kita meletakkan deadline, kita secara langsung akan meletakkan tekanan yang tidak diperlukan (unnecessary pressure), iaitu sesuatu yang kita tidak mahu dan tidak wajar diletakkan dalam mencari dan mencapai kesempurnaan yang diharapkan.
12. Saya juga ingin menegaskan, bahawa sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan yang selama ini secara terus menerus tanpa kenal erti jemu dan putus asa dalam terus memaju dan memartabatkan rakyatnya, Kerajaan yang senantiasa menepati janjinya, kami tidak sesekali akan lupa akan hasrat dan janji yang telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini. Sebaliknya, InsyaAllah, Akta tersebut akan dimansuhkan apabila Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dibentangkan di Parlimen kelak.
Sekian, terima kasih.
0 comments: