JAWAPAN : YB
PUAN HAJAH NANCY SHUKRI
MENTERI
DI JABATAN PERDANA MENTERI
Tuan Yang di-Pertua,
1.
Pada 11 Julai 2012, Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri telah menyatakan hasrat Kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 [ atau Akta 15 ] dan
menggantikannya dengan suatu Akta baru yang
dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
2.
Saya ingin menegaskan di sini bahawa dalam
menggubal Akta Keharmonian Nasional yang akan dicadangkan ini, atau apa jua
nama bersesuaian yang akan digunakan untuk akta itu kelak, Kerajaan tidak akan
sama sekali menggadai atau membelakangkan peruntukan-peruntukan dalam
Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi tulang belakang asas penyatuan
rakyat berbilang agama dan kaum yang telah diusahakan serta dijadikan asas
kukuh oleh pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan dan
pembentukan Negara kita yang tercinta ini.
3.
Objektif Akta
Keharmonian Nasional bukan sahaja untuk memperkasa undang-undang tetapi juga
untuk mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara
keperluan menjamin kebebasan bersuara yang terkandung dalam Perlembagaan
Persekutuan dan membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang
menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional,
termasuklah penghinaan terhadap institusi diraja atau raja.
4.
Bagi tujuan ini, Kerajaan kini
sedang mendapatkan dan mengumpul pandangan serta maklum balas daripada semua
pihak yang berkepentingan berhubung dengan peruntukan yang wajar dimasukkan ke
dalam Akta Keharmonian Nasional tersebut.
5.
Pihak-pihak yang sedang merunding Rang
Undang-Undang Keharmonian Nasional turut memberi perhatian kepada aspek
pencegahan perbuatan menghasut, membangkitkan kebencian, penghinaan yang
serius, atau ejekan terlampau, yang melibatkan agama atau bangsa.
6.
Sehubungan dengan itu, tarikh
sebenar pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan untuk digantikan dengan
Akta Kerhamonian Nasional masih belum dapat diputuskan pada masa ini memandangkan
perkara tersebut masih sedang dalam kajian dan memerlukan penelitian daripada pelbagai
aspek.
7.
Perlu diingatkan bahawa proses ini
membabitkan penggubalan satu akta yang baru dan bukannya pindaan kecil kepada
akta sedia ada. Proses menggubal sesuatu undang-undang bukanlah suatu perkara
mudah yang hanya boleh diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat. Ia
memerlukan ketelitian, kajian, perbandingan dengan undang-undang yang sedia ada
serta perbincangan yang mendalam. Ia juga perlu melihat dari sudut
penguatkuasaannya kelak yang melibatkan masyarakat yang berbeza dari segi
budaya, agama, bangsa, adat resam, pemikiran dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua,
8.
Saya turut ingin mengambil kesempatan ini
untuk memaklumkan Dewan yang mulia ini, serta seluruh rakyat Malaysia di luar
sana bahawa Kerajaan melalui Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Mempromosi
Keharmonian Nasional, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau National
Unity Consultative Council (NUCC) telahpun mengambil dan memulakan
inisiatif untuk membincangkan cadangan penggubalan akta baru ini.
9.
Memang benar bahawa terdapat beberapa draf
cadangan kerja (atau dengan izin, proposed working draft) akta berkenaan
telahpun dimajukan kepada saya baru-baru ini. Namun, saya ingin menegaskan
kepada dewan yang mulia ini serta seluruh rakyat Malaysia bahawa input daripada
draf-draf cadangan kerja berkenaan masih lagi sedang diteliti. Sekiranya ia
adalah baik dan sesuai serta boleh dilaksanakan di Negara kita, maka cadangan
tersebut akan dipertimbangkan.
10. Proses
konsultasi juga masih giat dijalankan dan belum lagi dimuktamadkan, bercanggah
dengan dakwaan oleh sesetengah pihak baru-baru ini. Draf undang-undang yang
bakal digubal ini merupakan undang-undang yang datangnya dari rakyat untuk
rakyat di mana input, pandangan dan cadangan dari rakyat akan diperolehi
melalui beberapa siri dialog, perbincangan meja bulat (atau dengan izin, round
table discussion) dan sebagainya.
11. Penelitian
dan kajian yang menyeluruh adalah penting bagi memastikan suatu undang-undang
itu komprehensif dan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Maka dengan itu, saya
berpendirian adalah tidak wajar untuk kita menetapkan tarikh akhir, atau dengan
izin, deadline untuk akta berkenaan disiapkan. Pada saat kita meletakkan
deadline, kita secara langsung akan meletakkan tekanan yang tidak
diperlukan (unnecessary pressure), iaitu sesuatu yang kita tidak mahu
dan tidak wajar diletakkan dalam mencari dan mencapai kesempurnaan yang
diharapkan.
12. Saya
juga ingin menegaskan, bahawa sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan
yang selama ini secara terus menerus tanpa kenal erti jemu dan putus asa dalam
terus memaju dan memartabatkan rakyatnya,
Kerajaan yang senantiasa menepati janjinya, kami tidak sesekali akan
lupa akan hasrat dan janji yang telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini. Sebaliknya, InsyaAllah, Akta
tersebut akan dimansuhkan apabila Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional
dibentangkan di Parlimen kelak.
Sekian, terima kasih.