KENYATAAN MEDIA
PENUBUHAN PASUKAN PENYELIDIK
KAJIAN DASAR PEMBANGUNAN PELAN TINDAKAN HAK ASASI MANUSIA KEBANGSAAN
PUTRAJAYA, Julai 2014 –Pelaksanaan kajian dasar terhadap isu-isu hak asasi manusia
di negara ini bakal menjadikan Malaysia sebuah negara yang akan mencapai
standard hak asasi manusia setaraf dengan piawaian antarabangsa.
Dikenali sebagai Kajian
Dasar Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, ia akan menjadi tulang
belakang kepada pembentukan sebuah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan atau
National Human Rights Action Plan(NHRAP)
yang efektif bagi Malaysia kelak.
Pelaksanaan kajian
ini merupakan tindakan yang paling penting dalam proses membangunkan sebuah
Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang mengambilkira
Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai budaya Malaysia serta kedudukan agama
Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Pelbagai
Kementerian, Jabatan serta 40 orang pakar akademik daripada pelbagai bidang
kepakaran dari universiti-universiti tempatan akan terlibat dalam kajian yang
akan mengambil masa selama 18 bulan dan terbahagi kepada dua fasa ini.
Fasa I akan lebih
tertumpu pada pengumpulan data-data, polisi-polisi sedia ada serta analisa
terhadap kedudukan semasa berkaitan hak asasi manusia dalam negara.
Fasa II pula akan
tertumpu kepada aktiviti seperti rundingan awam.
Kumpulan penyelidik
itu nanti akan menyediakan sebuah laporan yang merangkumi konsep hak asasi
manusia bagi Malaysia dan kedudukan sebenar hak asasi manusia dalam negara ini.
Laporan itu juga nanti
akan mengemukakan cadangan bentuk pelan tindakan yang bersesuaian mengikut
acuan Malaysia yang unik dan tersendiri.
Kumpulan penyelidik
yang telah dibentuk itu bakal melaksanakan kajian berdasarkan kepada 5 teras
utama yang dicadangkan untuk NHRAP yang merangkumi hak sivil dan berpolitik,
hak ekonomi, sosial, agama dan kebudayaan, hak golongan rentan, hak orang asli/
orang asal dan kewajipan antarabangsa.
Kajian berkenaan
juga akan melibatkan pelaksanaan rundingan awam yang bermakna dan menyeluruh.
Kumpulan ini akan
diketuai oleh Prof. Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz dengan dibantu oleh Dr. Gan
Chin Chuan.
Kedua-duanya
merupakan ahli Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Pelan Tindakan Hak Asasi
Manusia Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YB Hajah Nancy Haji Shukri.
Kerajaan, pada Oktober 2012 telah bersetuju agar sebuah Pelan Tindakan Hak
Asasi Manusia Kebangsaan dibangunkan bagi Malaysia.
Pembangunan
pelan ini merupakan satu usaha jangka
panjang oleh Kerajaan bagi memastikan pemeliharaan dan pembelaan hak-hak asasi
manusia dan dalam masa yang sama meningkatkan pengetahuan dan kesedaran
mengenai pentingnya pemeliharaan hak-hak tersebut.
Pada 19 Jun lalu,
MesyuaratPelaksanaan Kajian Dasar Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan yang
pertama telah diadakan dan dipengerusikan oleh YB Hajah Nancy.
Bagi mereka yang ingin
mendapatkan maklumat lanjut berhubung kajian dasar ini boleh menghubungi
Urusetia Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) di talian 03-8885
1000 atau datang terus ke Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana
Menteri, Presint 3, 62692 Putrajaya.
Maklumat
lanjut hubungi : Urus Setia
Pelan
Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP)
Bahagian
Hal Ehwal Undang-Undang
Jabatan
Perdana Menteri
Presint
3, 62692 Putrajaya.
Telefon : 03-8885 1000
Faks : 03-8885 1088
