PELAN TINDAKAN HAK ASASI MANUSIA : KENYATAAN MEDIA



KENYATAAN MEDIA

PENUBUHAN PASUKAN PENYELIDIK KAJIAN DASAR PEMBANGUNAN PELAN TINDAKAN HAK ASASI MANUSIA KEBANGSAAN


PUTRAJAYA, Julai 2014 –Pelaksanaan kajian dasar terhadap isu-isu hak asasi manusia di negara ini bakal menjadikan Malaysia sebuah negara yang akan mencapai standard hak asasi manusia setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Dikenali sebagai Kajian Dasar Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, ia akan menjadi tulang belakang kepada pembentukan sebuah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan atau National Human Rights Action Plan(NHRAP) yang efektif bagi Malaysia kelak.

Pelaksanaan kajian ini merupakan tindakan yang paling penting dalam proses membangunkan sebuah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang mengambilkira Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai budaya Malaysia serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Pelbagai Kementerian, Jabatan serta 40 orang pakar akademik daripada pelbagai bidang kepakaran dari universiti-universiti tempatan akan terlibat dalam kajian yang akan mengambil masa selama 18 bulan dan terbahagi kepada dua fasa ini.

Fasa I akan lebih tertumpu pada pengumpulan data-data, polisi-polisi sedia ada serta analisa terhadap kedudukan semasa berkaitan hak asasi manusia dalam negara.

Fasa II pula akan tertumpu kepada aktiviti seperti rundingan awam.

Kumpulan penyelidik itu nanti akan menyediakan sebuah laporan yang merangkumi konsep hak asasi manusia bagi Malaysia dan kedudukan sebenar hak asasi manusia dalam negara ini.

Laporan itu juga nanti akan mengemukakan cadangan bentuk pelan tindakan yang bersesuaian mengikut acuan Malaysia yang unik dan tersendiri.

Kumpulan penyelidik yang telah dibentuk itu bakal melaksanakan kajian berdasarkan kepada 5 teras utama yang dicadangkan untuk NHRAP yang merangkumi hak sivil dan berpolitik, hak ekonomi, sosial, agama dan kebudayaan, hak golongan rentan, hak orang asli/ orang asal dan kewajipan antarabangsa.

Kajian berkenaan juga akan melibatkan pelaksanaan rundingan awam yang bermakna dan menyeluruh.

Kumpulan ini akan diketuai oleh Prof. Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz dengan dibantu oleh Dr. Gan Chin Chuan.

Kedua-duanya merupakan ahli Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YB Hajah Nancy Haji Shukri.

Kerajaan, pada Oktober 2012 telah bersetuju agar sebuah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan dibangunkan bagi Malaysia.

Pembangunan pelan ini merupakan satu usaha jangka panjang oleh Kerajaan bagi memastikan pemeliharaan dan pembelaan hak-hak asasi manusia dan dalam masa yang sama meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai pentingnya pemeliharaan hak-hak tersebut.

Pada 19 Jun lalu, MesyuaratPelaksanaan Kajian Dasar Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan yang pertama telah diadakan dan dipengerusikan oleh YB Hajah Nancy.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung kajian dasar ini boleh menghubungi Urusetia Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) di talian 03-8885 1000 atau datang terus ke Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Presint 3, 62692 Putrajaya.


Maklumat lanjut hubungi :      Urus Setia
                                         Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP)
                                         Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang
                                         Jabatan Perdana Menteri
                                         Presint 3, 62692 Putrajaya.
                                         Telefon     : 03-8885 1000
                                         Faks          : 03-8885 1088
                                         http://www.bheuu.gov.my

0 comments: