TEMERLOH, PAHANG, 10 Januari 2015 – Pengerusi
Pelaburan MARA Berhad (PMB) yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dato’
Sohaimi Shahadan menyarankan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk
memberi pertimbangan khas kepada para pencarum bagi membuat pengeluaran
simpanan dari Akaun 2 bagi memulihkan kediaman mereka yang terjejas akibat
bencana banjir yang melanda Negara baru-baru ini.
Sohaimi berkata, “pertimbangan khas ini wajar
diberikan kepada pencarum KWSP untuk mengeluarkan sebahagian daripada simpanan
mereka dalam Akaun 2 bagi meringankan beban mereka untuk memulihkan semula
keadaan rumah yang rosak teruk akibat
banjir.
“KWSP harus segera memikirkan satu mekanisma khas
bagi membantu para pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa karenah
birokrasi kerana ini merupakan satu opsyen kepada mereka yang juga merupakan
mangsa-mangsa banjir utnuk menghadapi episode pasca banjir”, tambah Sohaimi
lagi.
Sohaimi menambah “bencana banjir yang melanda Negara kita khususnya di
Pantai Timur Semenanjung dan beberapa negeri lain dilihat antara yang terburuk
dan menyebabkan kerosakan harta benda di tahap maksimum. Justeru pengeluaran
simpanan Akaun 2 KWSP ini merupakan satu opsyen jangka pendek yang dapat
membantu mereka untuk membaik pulih kediaman mereka selain membeli peralatan
asas kelengkapan rumah untuk meneruskan kehidupan. ”
“Saya juga
ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas keprihatinan semua pihak yang
turut serta membantu meringankan beban mereka dengan mengumpul wang sumbangan,
pelbagai barangan keperluan asas, makanan selain khidmat sukarelawan dalam
usaha meringankan beban mereka” tambah Sohaimi sewaktu turun padang menjadi
sukarelawan dalam program Pelaburan Bersama Anda : Ops Pasca Banjir 1.0 di
Kampong Teluk Sentang, Kuala Krau Temerloh.
Pelaburan MARA Bersama Anda merupakan satu program
tanggungjawab sosial korporat PMB untuk mendekatkan organisasi ini kepada umum
selain mengukuhkan lagi jenama PMB.
Seramai 80 orang sukarelawan telah berganding bahu menjayakan program
Ops Pasca Banjir 1.0 yang mana para sukarelawan ini telah membantu membersihkan
Sekolah Rendah Kebangsaan Teluk Sentang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk
Sentang.
Selain itu, para sukarelawan juga turut membantu membersihkan rumah
seorang penduduk berhampiran yang terjejas teruk dalam banjir baru-baru ini. PMB
turut menyumbang 2 unit water jet
kepada pihak sekolah dan penduduk setempat untuk membersihkan kawasan
persekitaran. Turut hadir sebagai sukarelawan adalah Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan, En Nazim Rahman, TKetua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, engku Ahmad
Badli Shah Raja Hussin.