BAIKI SEGERA JALAN ROSAK DAN BERLUBANG DI PEKAN SONG

Oleh: Kwok Chin Hoe

Isu jalan rosak, berlubang, tidak rata terus menjadi masalah setempat yang menghantui pengguna jalan raya di Daerah Song, Sarawak. Setiap hari, penduduk di sekitar pekan Song berdepan dengan risiko bahaya kemalangan berikutan status jalan yang menghubungkan kawasan penempatan kampung dengan pekan itu berada dalam kondisi yang teruk, rosak, berlubang dan sebahagiannya adalah jalan tidak berturap tar yang dipenuhi batu-batuan yang menjadi alas jalan  itu. 

Terbaharu, kerosakan seumpamanya berlaku di sepanjang jalan Sepadi dan Bukit Selabi iaitu laluan tunggal yang membolehkan penduduk di Takan, Nyimoh, Miau dan Tekalit berkunjung ke Pekan Song. Jalan tersebut adalah laluan harian kepada pelajar dan guru untuk ke sekolah dan juga kepada penduduk setempat yang ingin mendapatkan pelbagai perkhidmatan atau kemudahan di Pekan Song. 

Kejadian serupa sudah pun berlaku buat sekian lamanya, bukan sekadar melibatkan jalan di Sepadi dan Bukit Selabi, tetapi juga membabitkan jalan sepanjang Pekan Song itu sendiri. Apa yang lebih membimbangkan penduduk setempat adalah ketika musim hujan melanda, lubang-lubang yang terbentuk atas jalan itu dipenuhi dengan air bertakung dan dikhuatiri mengancam keselamatan pengguna jalan raya. 


Sungguhpun banyak aduan telah dikemukakan, bahkan hebahan mengenai masalah tersebut pernah mendapat liputan daripada akhbar lokal, namun, keperitan yang dialami oleh pengguna jalan raya di pekan kecil ini seolah-olah tidak diendahkan. Sebaliknya, jalan yang rosak dan berlubang itu hanya ditutupi dengan batu-batuan hingga mengundang rungutan dalam kalangan pengguna kerana usaha tersebut lebih membahayakan pengguna jalan raya khususnya dalam kalangan penunggang motosikal yang berulang-alik menggunakan laluan tersebut. 

Bukan itu saja, malah kemalangan melibatkan kenderaan seperti kereta, van atau lori juga mudah berlaku apabila pemandu memilih untuk mengelak lubang-lubang berkenaan dan masuk ke laluan bertentangan. Situasinya lebih menakutkan lagi di sebelah malam kerana laluan jalan yang rosak itu sebenarnya agak gelap tanpa lampu jalan. Ini meningkatkan lagi risiko kemalangan membabitkan pengguna jalan dan penduduk yang tinggal di desa itu. 


Sememangnya menjadi amanah agensi kerajaan berkenaan bagi memastikan bahawa jalan-jalan yang rosak di selenggara dengan secepat mungkin. Pemimpin masyarakat juga seharusnya lebih peka, prihatin akan masalah setempat dan berikhtiar menyegerakan penyelesaian masalah tersebut, bukan sebaliknya. Justeru itu, pihak yang berwajib sewajarnya bertindak pantas memastikan aduan lama oleh penduduk setempat dapat diatasi dengan kadar segera.

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)