PEMUDA UMNO MENYOKONG RANG UNDANG-UNDANG AKTA PENCEGAHAN KEGANASAN (POTA)


Rang undang-undang Akta Pencegahan Keganasan (Pota) yang diusulkan olehb Kementerian Dalam Negeri disokong sepenuhnya oleh Pemuda Umno yang menganggap akta itu adalah tindakan terbaik untuk membanteras keganasan yang semakin menular di negara ini.

Exco Pemuda Umno, Dazma Shah Daud berkata, langkah Menteri KDN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membentangkan RRU Pota di Parlimen minggu lalu adalah tepat pada masanya ketika unsur keganasan semakin mempengaruhi segelintir golongan di negara ini.

“Saya sokong Pota yang dibawa oleh KDN kerana sudah tidak masanya kita memerangi unsur keganasan secara tuntas. Sekarang ini bukan lagi masa untuk memandang remeh isu keganasan yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Exco Pemuda, Shahril Hamdan berkata, akta ini diperlukan sebagai satu akta pencegahan untuk menghalang rakyat Malaysia terlibat dengan kumpulan militan IS dan ancaman-ancaman ekstremisme yang tidak dijangka pada masa hadapan.

“Kita perlu menyeimbangkan keselamatan negara dan hak asasi manusia. Namun, selagi tiada alternatif lain bagi menghalang penularan gejala ekstremisme ini, akta ini adalah penyelesaian paling optimum agar anak muda kita tidak terus tersesat di atas jihad palsu ini,” tegasnya.

0 comments: