RANCANGAN PEMBANGKANG HALANG POTA GAGAL


Rancangan pembangkang menghalang Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015 atau POTA gagal apabila usul merujuk rang berkenaan kepada Jawatankuasa Pilihan ditolak selepas undian belah bahagi.

Usul berkenaan dikemukakan Ahli Parlimen PSM Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj mengikut peraturan 54(2).

Usul itu bagi membolehkan Rang berkenaan diserahkan kepada jawatankuasa untuk penilaian semula atau dalam erti kata lain ditangguhkan.

Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee membenarkan usul itu dikemukakan selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selesai menggulung perbahasan Rang Undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat, malam tadi.

Dalam undian itu, 64 ahli parlimen pembangkang bersetuju dengan usul berkenaan manakala 80 ahli parlimen menolaknya.

Selepas pembangkang gagal dengan usul tersebut, Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 kemudian lulus pada peringkat dasar dengan lebihan suara menyokong.

Sebelum itu, Zahid dalam penggulungannya berjata,  tujuan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN)  dan PDRM sesuatu yang baik, supaya dapat memulihkan ketaksuban melampau mereka yang terbabit keganasan.

Katanya, undang-undang berkenaan bukan untuk menganiaya mana-mana pihak jauhkan sekali untuk tujuan politik seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Undang-undang amat perlu diluluskan, ia bukan untuk disalahguna oleh polis sebaliknya untuk menghalang keganasan dan memastikan keamanan negara  ” katanya.

Seramai 18 orang ahli parlimen termasuk pembangkang membahaskan rang undang-undang berkenaan sejak dibentangkan pagi tadi.

Dewan juga kecoh apabila ahli parlimen pembangkang dan Barisan Nasional bertegang leher mempertahankan hujah masing-masing ketika  perbahasan.