Naib Presiden, Penyelidikan Runcit Affin Hwang, Datuk Dr. Nazri Khan berkata, perkara berkenaan adalah seiring dengan pelbagai program transformasi dan pembangunan yang sedang dijalankan oleh kerajaan dan agensinya di beberapa lokasi strategik di ibu negara.

Menurut beliau, projek-projek pembangunan hartanah di Tun Razak Exchange (TRX) dilihat sebagai pemangkin serta keupayaan yang berkesan untuk pelaburan pada tahun ini.
Katanya, dengan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tidak lama lagi akan terus memberi tumpuan terhadap agenda pelaburan untuk kepentingan rakyat selaras dengan matlamat Model Ekonomi Baharu (MEB) bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“TRX boleh dikatakan sebagai Wall Street bagi negara ini yang mampu untuk menjadi pusat tumpuan pelabur luar dan dalam negara di samping menjadi gerbang bagi pelbagai jenis bidang keutamaan ekonomi.
“Malah dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang tahun hadapan juga antara faktor penting yang menyumbang kepada kesesuaian aktiviti pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman program #ArifLabur dan prestasi empat dana unit amanah terbaik Pelaburan Mara Berhad (PMB) Investment di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pelaburan Mara Bhd. (Pelaburan Mara), Datuk Sohaimi Shahadan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Nazim Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif, PMB Investment Bhd. (PMB), Ameer Ali Mohamed.

Mengulas mengenai prestasi empat dana unit amanah terbaik PMB, Sohaimi berkata, empat dananya berada di kedudukan 10 terbaik daripada 63 dana bagi kategori ekuiti syariah Malaysia dan itu membuktikan bahawa pelaburan yang disediakan menepati kehendak pasaran semasa dan orang ramai.

Antara dana yang mendapat pengiktirafan sebagai dana terbaik bagi tempoh setahun iaitu mulai 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2015 ialah Dana Syariah Aktif PMB (PMB SAF), Dana Dividen Syariah PMB (PMB SDF), Dana Premium Syariah PMB (PMB SPF) dan Pertumbuhan Syariah PMB (PMB SGF).

“Secara keseluruhannya, PMB mengurus 13 dana unit amanah, sebuah dana borong dan beberapa akaun portfolio dengan mandat pelaburan dalam ekuiti, sukuk dan pasaran wang. Untuk itu, PMB perlu mematuhi proses pelaburan yang tegas dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan,” jelas Sohaimi.