TINGKATKAN GERAKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR DI MALAYSIA TIMUR


Oleh: Kwok Chin Hoe

Laporan Tahunan 2014 Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dibentangkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan lepas, membuktikan bahawa inisiatif transformasi yang diperkenalkan dan diusahakan oleh kerajaan sejak 5 tahun yang lalu, kini mula menampakkan hasil yang positif dan mencapai kebanyakan penunjuk prestasi yang disasarkan.

Menurut percaturan atas kertas, Malaysia dikatakan berada di landasan yang tepat bagi merealisasikan impian menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 

Sudah pasti laluan mengecapi misi itu turut menuntut gerakkan transformasi yang lebih drastik buat tahun-tahun berikutnya khususnya dalam merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melibatkan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak, memandangkan hanya berbaki 5 tahun sahaja lagi sebelum kita mengorak langkah menuju era 2020.

Sungguhpun pelbagai inisiatif pembangunan telah dan sedang diadakan di bawah Dasar Transformasi Nasional (DTN), namun begitu, realitinya, harus diakui bahawa jurang pembangunan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak semakin melebar. Pencapaian GTP dan ETP yang sarat dengan angka dan statistik belum tentu dapat mencerminkan keadaan sebenar di lapangan, khususnya melibatkan kemajuan pembangunan di luar bandar, yang mana kebanyakan inisiatif pembangunan di kawasan desa sememangnya masih jauh tertinggal. 

Turun saja ke lapangan melawat kawasan luar bandar, daerah atau perkampungan yang terdapat di kedua-dua buah negeri berkenaan, maka, akan mudah untuk mengesani bahawa banyak kawasan penempatannya yang masih tidak memiliki akses langsung ke atas kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik. 

Bahkan, banyak kawasan penempatan daerahnya hanya boleh dijejaki melalui jalan air kerana tidak memiliki kemudahan jalan raya. Jika adapun, hanya ada jalan-jalan kampung yang tidak berturap tar atau pun jalan raya rosak yang terbiar dan tidak di selenggara oleh pihak berkuasa tempatan. 

Tidak kurangnya juga sekolah-sekolah di pedalaman yang masih bergantung pada generator jana kuasa untuk bekalan elektrik kegunaan seharian sekolah. Apabila generator itu rosak atau gagal berfungsi, maka, seluruh sekolah akan terputus bekalan elektrik. Akibatnya, rutin harian pelajar dan guru di sekolah berkenaan terjejas. 

Di aspek lain pula, jurang perbezaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kian melebar antara komuniti luar bandar dan bandar.  Sedangkan penguasaan terhadap ICT pada hari ini diakui penting dalam segala bidang, selari dengan tuntutan semasa. 

Oleh itu, agenda pembangunan luar bandar yang berteraskan pembangunan fizikal, sosial, ekonomi dan teknologi maklumat harus terus ditekankan dan diberi tumpuan demi memastikan penduduk di luar bandar di Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan dan menjalani kehidupan yang lebih sejahtera. 

Kwok Chin Hoe ialah Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)