Mengakui perkara ter­­sebut, Pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, syarat permohonan rumah mampu milik juga seharus­nya diteliti semula bagi memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir dan dinafikan hak mereka.
Katanya, kelangsungan agenda pemilikan perumahan rakyat yang menyasarkan sejuta rumah mampu milik menjelang akhir tahun ini perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

“Pada akhir tahun ini, sebanyak 182,000 unit rumah di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan siap dan sejumlah 653,000 unit lagi akan dibina di bawah RMK-11.

“Maka, syarat-syarat permohonan pemilikan rumah mampu milik ini perlu ditambah baik, malah kerenah birokrasi juga seharusnya ditolak bagi memastikan keper­luan serta kebaji­kan rak­yat diutamakan,” menurut kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan RMK-11 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam.

Antara inisiatif yang diumumkan ialah cadangan kerajaan untuk menambah sebanyak 653,000 unit rumah mampu milik lagi yang akan dibina oleh pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Sohaimi berkata, RMK-11 yang berteraskan enam strategi utama secara keseluruhannya disifatkan sebagai satu perancangan merangkumi setiap aspek pembangunan negara yang dilihat mampu meles­tarikan usaha kerajaan meneruskan Dasar Transformasi Nasional.

Katanya, pemerkasaan ekonomi bumiputera juga diharap akan terus menjadi agenda nasional bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera se­perti ditetapkan menjelang 2020.

“Saya menyambut baik dan menyokong saranan kerajaan dalam meningkatkan pemilikan ekuiti korporat bumiputera menerusi cadangan pengeluaran wang dari Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur dalam Ama­nah Saham Bumiputera (ASB) Dua yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Selain ASB, banyak lagi produk pelaburan yang boleh diberi perhatian untuk menjana keuntungan, malah kerajaan juga boleh bekerjasama de­ngan pemain industri pelaburan saham di negara ini bagi menggalakkan golongan bumiputera melabur,” katanya.

UTUSAN