KESELAMATAN PENUMPANG TERABAI

Oleh: Kwok Chin Hoe

Insiden bot ekspres yang terkandas, hampir terbalik dan berdepan risiko karam di jeram Pelagus, Kapit, Sarawak pada 15 Mei yang lalu didakwa berpunca daripada pengemudi bot yang berada dalam keadaan mabuk ketika mengemudikan bot berkenaan. 

Ini bukan pertama kali kes seumpamanya berlaku, terutamanya di Bahagian Kapit, Sarawak! Pada 28 Mei 2013 iaitu beberapa hari sebelum sambutan perayaan Hari Gawai, sebuah bot ekspres yang membawa lebih 200 penumpang, melebihi jumlah muatan yang dibenarkan, karam di jeram Giam Bungan, Belaga, Kapit. Tragedi ini telah mengakibatkan tiga kematian.

Pengemudi bot ekspres mabuk, jumlah muatan berlebihan, laluan jeram yang berbahaya, sememangnya sinonim dengan punca tragedi bot ekspres karam di Bahagian Kapit, Sarawak. Tragedi bot ekspres karam atau kemalangan melibatkan bot ekspres sememangnya sesuatu yang dirisaukan oleh penduduk setempat, tambahan pula, musim cuti sekolah dan perayaan Hari Gawai Dayak sudah dekat. 

Sepanjang akhir bulan Mei dan awal bulan Jun setiap tahun, khidmat bot ekspres menjadi tumpuan orang ramai, memandang jalan air adalah laluan tunggal dan bot ekspres adalah pengangkutan paling ideal ketika ini bagi membolehkan penduduk keluar masuk dari Belaga-Kapit-Song-Sibu dan sebaliknya. Mahu tidak mahu, mereka harus menggunakan khidmat bot ekspres untuk berulang alik sama ada ke kawasan pekan atau bandar yang terdekat, pulang bercuti atau ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Hari Gawai Dayak bersama seisi keluarga. 

Musim cuti sekolah dan perayaan sebeginilah, pengusaha bot mahu mengaut keuntungan lebih, akibatnya, berlaku kes muatan melebihi jumlah yang dibenarkan. Penumpang pula berebut-rebut mahu naik bot ekspres, hingga ada yang rela hati duduk memenuhi ruang bumbung kerana tidak mahu terlepas bot untuk pulang ke kampung halaman. Sebaliknya, isu keselamatan tidak dititikberatkan.  

Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) harus lebih peka, proaktif, mengadakan pemantauan dan penguatkuasaan, ambil tindakan tegas terutamanya pada pengusaha yang membawa jumlah muatan lebih daripada yang dibenarkan serta pengemudi bot yang mabuk. 

Usah teragak-agak buat saringan ke atas pengemudi bot bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh alkohol atau lain-lain bahan terlarang ketika bertugas, demi memastikan aspek keselamatan penumpang terjamin, selain mencegah berlakunya tragedi bot karam atas sebab kecuaian manusia! Usah tunggu tragedi seumpamanya berulang lagi barulah mahu bertindak!

Selain itu, langkah meningkat kekerapan perjalanan bot ekspres sempena perayaan Gawai Dayak dan cuti sekolah perlu diadakan secepat mungkin bagi menampung keperluan tinggi pengguna. Dengan peningkatan kekerapan perjalanan itu, maka, diyakini bahawa kejadian bot ekspres membawa muatan lebih daripada jumlah yang dibenarkan dapat ditangani secara berkesan serta memastikan keselamatan dan keselesaan setiap penumpang terjamin.

Kwok Chin Hoe ialah Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)