Perjanjian baharu itu adalah untuk menyambung kerjasama yang telah terjalin antara Mara dengan MAI sejak 2005 bagi membolehkan syarikat milik kerajaan (GLC) yang menjadi payung kepada golongan bumiputera itu memperkasa tenaga mahir tempatan dalam bidang aero­angkasa.

Perkara itu dicapai sempena lawatan kerja Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersama pengurusan kanan Mara antaranya Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Johan Abdul Aziz serta Ketua Pengarah, Datuk Ibrahim Ahmad ke Moscow, Rusia.

MAI merupakan sebuah institusi pengajian yang mendapat pengiktirafan ‘National Research University’ di Rusia yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa seperti Kejuteraan Penerbangan, Sistem Kawalan, Elektronik Radio untuk Penerbangan dan Kejuruteraan Angkasa.

Menerusi satu kenyataan, Mara memaklumkan dengan termeterainya perjanjian itu, pihaknya akan menghantar sejumlah pelajar setiap tahun untuk meneruskan pengajian ijazah sarjana muda selepas menamatkan program persediaan selama setahun di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Mara akan menaja keseluruhan perbelanjaan pembelajaran pelajar sepanjang mereka menuntut di MAI. Perjanjian ini merupakan hasil perbincangan antara Bahagian Penganjuran Pelajaran Mara dan Pengarah Bahagian Antarabangsa MAI, Dr. Sergey Lutin sejak April lalu.

“Pihak MAI akan memastikan program yang disediakan kepada para pelajar mengikuti standard yang ditetapkan oleh Standard Pendidikan Negara Rusia. MAI juga perlu mengajar dan melatih para pelajar untuk menguasai program yang dipelajari serta menyediakan segala keperluan tempat tinggal dan lain-lain fasiliti,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir sempena majlis perjanjian MoA tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Zainol Abidin Omar; Pengerusi Kolej Agrosains Malaysia, Datuk Seri Wan Mohamad Zuki Mohamad; Setiausaha Bahagian Kanan KKLW, Jamaluddin Kasbi dan Dekan Fakulti Penerbangan MAI, Prof. Yefremov Aleksandr Viktorovich.

Dalam perkembangan yang sama, Mara menjelaskan, MAI juga akan membantu proses mendapatkan visa untuk kemasukan pelajar ke Rusia sepanjang tempoh pem­belajaran mereka di sana selain turut bertindak menyarankan program insurans yang bersesuaian dengan para pelajar.

“Dalam aspek latihan industri pula terdapat dua pilihan sama ada dijalankan di Rusia pada bulan Julai setiap tahun pengajian atau dijalankan di Malaysia dengan kerjasama UniKL bermula Julai selama sebulan setiap tahun pengajian,” tambah kenyataan itu lagi.