PERBANYAKKAN PROGRAM BERKONSEP KEUSAHAWANAN

Pertubuhan bukan kerajaan disaran mengadakan lebih banyak program berasaskan pengetahuan dan keusahawanan bagi membantu rakyat menambah pendapatan selain meningkatkan kualiti hidup.

Pengerusi Pelaburan MARA Berhad (PMB), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, inisiatif itu perlu diambil sebagai persediaan kepada mereka untuk menjana pendapatan sendiri selari usaha kerajaan mewujudkan negara berpendapatan tinggi dalam masa beberapa tahun lagi.

Katanya, pihaknya akan mengadakan lebih banyak program berkonsepkan pengetahuan dan keusahawanan yang 'mesra rakyat' di beberapa lokasi strategik bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat.

"Kita mahu mereka yang berkaitan boleh tukar kemahiran yang ada menjadi wang. Macam buat air soya dan mi, ramai yang tidak tahu bagaimana mereka boleh mencipta peluang daripada situ.


"Jadi selepas ini, kita akan cari tempat yang mempunyai penduduk yang padat dan berbilang kaum untuk adakan program bersama komuniti ini. Lagi banyak yang mencipta peluang, lagi ramai yang boleh jana pendapatan sendiri," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program MEMBARA Komuniti Parlimen Batu di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Norashekin Yusof.

Sohaimi berkata, dengan adanya konsep sebegitu, mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai prospek perniagaan dan pelaburan boleh berbuat demikian dengan mengunjungi pameran oleh agensi kerajaan yang bersedia memberi maklum balas berkaitan.