Naib Presiden Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dilindungi.

“Kita bukan mahu meminggirkan kaum lain tetapi hanya mahu menjaga hak pendidikan bumiputera. Ramai orang Melayu dan bumiputera berkecil hati apabila ‘hak’ mereka diambil melalui kuota JPA dan diberi kepada kaum lain.

“Kerajaan sepatutnya mewujudkan biasiswa lain yang boleh ‘direbut’ kaum bukan bumiputera untuk pembiayaan pendidikan mereka,” katanya selaku ahli panel semasa membahaskan wacana bertajuk ‘Isu Biasiswa dan Pinjaman Pendidikan Pelajar Melayu’ anjuran Biro Pendidikan Perkasa di sini hari ini.

JPA telah beberapa kali mengurangkan kuota bumiputera dan ketika ini nisbah biasiswa antara bumiputera dengan bukan bumiputera adalah 51 peratus nisbah 49 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd. Zainul Fithri berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan Biasiswa Diraja untuk menjamin hak keistimewaan orang Melayu itu tidak terhakis meskipun berlaku perubahan di peringkat kerajaan Persekutuan.

“Memandangkan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera terletak di bawah perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu, satu biasiswa yang dinaungi raja-raja Melayu perlu diwujudkan supaya keistimewaan itu tidak akan diganggu-gugat biarpun jika berlaku pertukaran kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang juga merupakan ahli panel wacana tersebut berkata, orang Melayu dan bumiputera tidak perlu takut untuk menuntut hak keistimewaan yang sememangnya milik mereka.

“Sekarang landskap politik dan sosio-ekonomi telah berubah dengan konsep kesamarataan, keterbukaan serta kepelbagaian telah bermula hingga membuatkan hak istimewa kita hari ini terancam.

“Tapi orang Melayu dan bumiputera tak perlu rasa malu atau ‘apologetik’ untuk menuntut hak kita kerana perkara ini telah termaktub dalam Perlembagaan yang menjadi wasiat raja-raja Melayu semasa penubuhan negara,” katanya.