PERKAHWINAN BAWAH UMUR - KENYATAAN MEDIA KPWKM


KENYATAAN MEDIA 
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT


PERKAHWINAN BAWAH UMUR

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ingin merujuk kepada kenyataan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disiarkan oleh malaysiakini pada hari ini (2 Oktober 2015) berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Isteri Perdana Menteri, YBhg. Datin Seri Rosmah Mansor dalam sesi Breakfast Panel on 'Girls, not Bride', di Ford Foundation, New York pada 30 September 2015. 

Sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab ke atas perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, KPWKM memberi perhatian akan isu perkahwinan bawah umur memandangkan pasangan muda tersebut mempunyai risiko dari segi kesediaan fizikal dan penceraian di peringkat awal perkahwinan. Berdasarkan rekod agensi-agensi yang bertanggungjawab mengenai pendaftaran perkahwinan, bilangan kes perkahwinan bawah umur pada tahun 2014 adalah sebanyak 1,106 bagi permohonan nikah pasangan Islam, 714 bagi pendaftaran perkawinan bukan Islam dan 715 bagi bukan Islam di Majlis Adat Istiadat Sarawak pada tahun 2013.

Di Malaysia, perundangan yang berkaitan dengan Perkahwinan Kanak-Kanak adalah di bawah undang-undang keluarga yang ditadbir secara berasingan bagi yang beragama Islam dan bukan Islam. Bagi yang bukan beragama Islam, seksyen 10 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [ Akta 164 ] memperuntukkan bahawa umur minimum perkahwinan pada 18 tahun. Walau bagaimanapun, seorang perempuan yang telah mencapai umur 16 tahun boleh dibenarkan berkahwin dengan kebenaran (lesen) yang diberikan oleh Ketua Menteri. 

Bagi Perkahwinan Kanak-Kanak yang beragama Islam, Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 ada menyatakan umur minimum untuk  perkahwinan di dalam seksyen 8 seperti berikut:

“Tiada sesuatu perkahwinan boleh di akad nikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hukum Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Menurut seksyen tersebut perkahwinan kanak-kanak di bawah umur hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah. Peruntukan tersebut bertujuan memberi peluang kepada Mahkamah untuk menyelidiki gadis itu dari segi latar  belakang,  keadaan fizikal, kemampuan untuk berumahtangga dan menjaga kepentingan kanak-kanak itu. Setelah Hakim Syariah di tempat kanak-kanak di bawah umur itu hendak berkahwin memberi kebenaran bertulis untuk berkahwin maka kanak-kanak itu boleh dinikahkan oleh bapa atau datuknya.

Jika bapa atau datuk menikahkan kanak-kanak yang di bawah umur minimum untuk  berkahwin menurut undang-undang tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Mahkamah Syariah, maka itu tindakan yang menyalahi peruntukan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor  . Jika sabit kesalahan, individu terbabit adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Undang-undang Syariah di negeri negeri lain juga mempunyai peruntukan yang sama mengenai umur minimum bagi perkahwinan.

Menyedari akan hakikat tersebut, bagi meneliti dan menangani isu perkahwinan bawah umur, KPWKM melalui Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-Kanak telah menubuhkan satu task force yang terdiri daripada agensi kerajaan yang berkaitan, ahli akademik dan aktivis kanak-kanak bagi meneliti isu tersebut. Antara perkara yang dicadangkan ialah kemungkinan untuk mensyaratkan penyediaan dua jenis laporan iaitu laporan kesihatan oleh doktor perubatan dan laporan sosial oleh pakar psikologi kanak-kanak. Kedua-dua laporan ini mungkin dapat membantu Hakim Syarie (untuk kes orang Islam), Ketua Adat dan YAB Ketua Menteri/Menteri Besar/ Menteri Wilayah Persekutuan seperti yang dinyatakan di bawah subseksyen 21(2), Undang-Undang Adat, Akta 164 (untuk kes orang bukan Islam) membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum memberi kelulusan untuk perkahwinan bawah umur. 

KPWKM mengambil pendirian bahawa kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya. Sebarang aktiviti yang mungkin membantutkan perkembangan mereka terutamanya dari segi pendidikan dan perubatan harus ditegah supaya mereka dapat mengejar masa hadapan yang lebih luas dan cerah. Perkahwinan bawah umur akan memberi cabaran meliputi tekanan daripada segi fizikal dan mental yang merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan, dan kewangan terhadap seorang kanak-kanak. Membenarkan kanak-kanak berkahwin tanpa asas yang kukuh bermakna meletakkan beban dan tanggungjawab berat sebagai suami isteri atau ibu bapa atas bahu mereka. Jika mereka belum bersedia dengan tanggungjawab berat ini, dikhuatiri ia membuka lebih ruang berlaku perceraian pada usia muda dan masalah-masalah sosial yang lain. 

KPWKM melalui agensinya Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) memainkan peranan yang penting dalam memberi pendidikan dan kesedaran kepada remaja dan pasangan yang ingin berkahwin. Mereka disarankan untuk meningkatkan pengetahuan kesihatan reproduktif dan persediaan dalam membina sebuah rumah tangga seperti mengikuti kursus pra–perkahwinan SMARTSTART kepada bakal pengantin yang dilaksanakan oleh LPPKN. Kerajaan sejak tahun 2009 telah meluluskan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI). Pakej kesedaran kesihatan reproduktif PEKERTI ini telah dilaksanakan di Pusat Remaja kafe@TEEN, Program Latihan Khidmat Negara dan sekolah-sekolah terpilih bagi meningkatkan kesedaran anggota masyarakat mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial. Pakej berkenaan menawarkan khidmat sokongan untuk remaja yang menghadapi masalah dan memerlukan khidmat nasihat berkenaan kesihatan reproduktif. Antara aspek yang diberi tumpuan ialah hubungan dalam keluarga dan perhubungan antara jantina di samping khidmat nasihat klinikal. 

Daripada inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan tersebut, Kementerian juga dari semasa ke semasa bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menerapkan ilmu pengetahuan mengenai perlindungan dan keselamatan terhadap diri serta ilmu pendidikan kesihatan reproduktif ke atas ibu bapa dan kanak-kanak. Antara perubahan yang dapat dilihat ialah dengan berkurangnya peratusan perkahwinan bagi kanak-kanak yang berumur di antara 15 hingga 19 tahun. Dalam pada itu, NGO seperti PS the Children juga melaksanakan program berbentuk “Personal Safety Programme” bagi mendidik kanak-kanak tentang kepentingan memelihara keselamatan diri daripada dianiaya dan dibuli. 

Bahagian Dasar
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
3 Oktober 2015