MALAYSIA ANTARA 12 NEGARA MENANDATANGANI PERJANJIAN TPPA





Dua belas negara, termasuk Malaysia, menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di sini, hari ini, yang mana pakatan perdagangan itu dijangka meluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan mempromosi perdagangan lebih bebas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menandatangani perjanjian perdagangan bebas komprehensif abad ke-21 bagi pihak Malaysia.

Pakatan perdagangan itu mewakili hampir 40% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global bernilai US$30 trilion.

Majlis penandatanganan TPPA di ibu negara New Zealand ini, adalah hasil rundingan yang sukar, yang mengambil masa lima tahun dan 19 pusingan rundingan.

Dua belas negara anggota TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.

Sebahagian besar negara berkenaan merupakan rakan dagang utama Malaysia.

TPPA bermatlamat menggalakkan penyepaduan ekonomi bagi meliberalisasikan perdagangan dan pelaburan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi serta manfaat sosial.

Lebih daripada 90% manfaat ekonomi disumbangkan menerusi langkah-langkah bukan tarif yang lebih rendah.

Ia juga dijangka mewujudkan peluang baharu untuk pekerja dan perniagaan, menyumbang kepada meningkatkan taraf hidup 600 juta penduduk, memberi manfaat kepada pengguna, mengurangkan kemiskinan serta menggalakkan pertumbuhan mampan.

Selain Mustapa, ketua perunding TPPA Malaysia, Datuk J Jayasiri turut hadir pada acara bersejarah itu.

Majlis pemeteraian itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen di sini, bermula pada jam 9 pagi waktu tempatan dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni, diikuti mesyuarat peringkat menteri sebelum pemeteraian dilakukan.

Malaysia yang menyertai TPPA pada pusingan ketiga rundingan pada Oktober 2010, bakal menyaksikan KDNK meningkat sebanyak AS$107 bilion kepada AS$211 bilion antara tahun 2018-2027.

Pelaburan diunjurkan meningkat sebanyak AS$136 bilion kepada AS$239 bilion antara tahun 2018-2027, yang sebahagian besarnya menerusi pertumbuhan pelaburan yang lebih tinggi, dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran. Bernama