SJK CHUNG HUA KUCHING MOHON RM6 JUTA BANTUAN KERAJAAN


Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No.1 hingga No.6 berharap dan memohon agar kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan bagi membina blok baharu SJK Chung Hua No.2 yang dianggarkan bernilai RM6 juta.

Menurut Setiausahanya Ku Fut Po, lembaga sedang memuktamadkan perancangan blok baharu itu yang
mana majlis pecah tanah tapak telah disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum lepas.

“Dengan ini kami berharap kerajaan negeri dapat memberi bantuan dalam projek ini dan berharap Ketua Menteri dapat membantu dalam perkara ini.

“Kami juga sedang melaksanakan projek penyambungan di SJK Chung Hua No.4 yang dianggarkan dengan kos RM6 juta, yang dijangka siap dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu SJK Chung Hua No.1 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan dihadiri Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senator Datuk Dr Sim Kui Hian sini, semalam.

Mengenai bangunan baharu SJK Chung Hua No.1 itu Ku berkata, blok baharu bangunan sekolah berkenaan mula dibina pada 2012 dan projek berjaya disiapkan dua tahun kemudian, iaitu 2014.

“Projek ini dianggarkan menelan kos RM5.3 juta dengan RM1.19 juta sumbangan daripada kerajaan persekutuan selain derma daripada orang awam,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Lembanga Pengurusan Sekolah Wong Tiong Hock dalam ucapannya turut berharap Ketua Menteri akan terus memberi bantuan kewangan kepada lima SJK Chung Hua lain pada masa akan datang untuk manfaat generasi seterusnya.

“Kami bangga mempunyai Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri, yang 100 peratus dedikasi dalam usahanya kepada rakyat Sarawak.

“Maka itu kami menyatakan sokongan 100 peratus kepada beliau.

“Satu Adenan menyatu Sarawak (mana dapat cari Ketua Menteri yang begitu baik),” katanya.

Mengenai SJK Chung Hua No.1 katanya, setakat ini sekolah itu mempunyai 28 peratus murid terdiri daripada latar belakang bukan Cina iaitu Iban, Bidayuh, Melayu dan kaum lain.