Kesediaan mereka mengucap dua kalimah syahadah itu turut didorong kepetahan dan ketinggian ilmu Dr. Zakir dalam menjawab setiap soalan yang dikemukakan orang bukan Islam berserta hujah meyakinkan berpandukan al-Quran dan hadis. Ungkapan dua kalimah syahadah mereka dibimbing sendiri Dr. Zakir.

Lelaki warga India yang merupakan penganut Sikh, Hurendar Bal Singh, menjadi individu pertama memeluk Islam kira-kira pukul 12.05 tengah malam, selepas berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr. Zakir terhadap beberapa soalannya sebaik sahaja sesi soal jawab bermula.

Hurinder antaranya mengemukakan soalan mengapa orang Islam tidak boleh murtad serta mengapa pula penganut agama lain yang ingin berkahwin dengan penganut Islam perlu menukar agama dan selepas mendengar penjelasan pendakwah antarabangsa itu, dia dengan rela hati mengucap kalimah syahadah.

Suasana ceramah kemudiannya bertambah mengharukan apabila seorang wanita tempatan, yang dikenali sebagai Euroshia mengucapkan kalimah syahadah selepas menyatakan sudah lama mengikuti ajaran Islam menerusi pembacaan dan siri dakwah Dr. Zakir.

Sejurus sahaja memeluk agama Islam, bekas penganut Kristian Roman Katolik yang lengkap bertudung serta memakai jubah berwarna hitam itu dilihat mengalirkan air mata kesyukuran sebelum berpelukan dengan sukarelawan wanita yang menjaga perjalanan ceramah.

Tidak terhenti di situ, seorang lagi wanita tempatan, Michelle, yang merupakan penganut Buddha juga dibukakan pintu hatinya pada pukul 1.30 pagi untuk mengucap dua kalimah syahadah menyebabkan lebih 30,000 yang hadir tidak berganjak untuk sama menjadi saksi walaupun sudah awal pagi.

Individu terakhir memeluk Islam dalam sesi ceramah ‘maraton’ hampir tujuh jam itu ialah lelaki tempatan bernama Joel (penganut Kristian), apabila beliau berbuat demikian pada pukul 2 pagi selepas Dr. Zakir memanjangkan sesi soal jawab walaupun pada mulanya mahu ditamatkan pihak penganjur.

Dalam majlis itu, seorang mualaf yang dikenali sebagai Douglas turut mengulangi mengucapkan kalimah syahadah dengan bimbingan Dr. Zakir.
Bagaimanapun, usaha pihak media untuk menemubual kesemua saudara baharu itu tidak dibenarkan pihak menganjur kerana mereka memaklumkan, keempat-empat individu terbabit belum bersedia membuat pendedahan umum selain mahu menjaga sensitiviti keluarga.

“Apabila mereka sudah bersedia, pihak kami akan maklumkan,” kata salah seorang sukarelawan program tersebut.UTUSAN