Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kewujudan suara-suara sumbang yang mempersoalkan kepimpinan Mohamed Khaled disebabkan mereka cemburu dengan kejayaan yang telah dicapai negeri ini.



“Mungkin ada pihak yang tidak senang hati melihat kejayaan demi kejayaan yang dicapai, lalu keluar suara-suara sedemikian. Namun, apa yang penting adalah rakyat Johor perlu terus bersatu dan bermuafakat dalam memastikan kita terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa depan,” katanya ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menzahirkan sokongan tidak ber­belah-bahagi terhadap kepimpinan Mohamed Khaled, baru-baru ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata demikian selepas menghadiri Sukan Komuniti dan Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sedohok, Kahang di sini hari ini.

Sambil menyambut baik, beliau turut menyifatkan titah Sultan Johor itu sebagai tepat pada masanya.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa saya menyokong penuh Mohamed Khaled untuk terus menerajui negeri ini,” katanya yang turut mengakui prestasi Mohamed Khaled amat membanggakan kerana sepanjang memimpin negeri ini pelbagai program transformasi te­lah dilaksanakan dan berjaya membantu meningkatkan imej dan taraf hidup rakyat.

Kelmarin Sultan Ibrahim semasa merasmikan Sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru menzahirkan sokongan penuh terhadap ke­pimpinan Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas sebagai Menteri Besar.UTUSAN