KIT SIANG TAK PUAS HATI KENYATAAN TONY PUA



 DAP kesal dengan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) daripada partinya sendiri, Tony Pua kerana menyatakan beliau 80 peratus berpuas hati dengan hasil siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, pengakuan Tony Pua itu secara tidak langsung memberi peluang untuk menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat dalam isu membabitkan syarikat pelaburan strategik negara tersebut.

“Tony Pua terlampau murah hati untuk memberi 80 markah kepada laporan PAC berhubung 1MDB kerana saya akan memberikan paling banyak 60 markah,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.


Media pada 8 April lalu melaporkan Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor secara terbuka mengakui beliau 80 peratus berpuas hati dengan Laporan PAC berhubung 1MDB yang dibentangkan di Parlimen.

Beliau berdolak-dalik kononnya masih 20 peratus tidak berpuas hati kerana ada perkara belum diselesaikan termasuk dokumen penting yang masih belum dikemukakan pihak 1MDB sepanjang mesyuarat jawatankuasa itu dijalankan.

Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat yang dibentang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu menyatakan dengan jelas Najib tidak terlibat secara langsung dengan isu membabitkan syarikat berkenaan.

Keputusan siasatan oleh anggota PAC yang turut disertai wakil pemimpin pembangkang itu dibentangkan di Dewan Rakyat bagi memenuhi desakan parti pembangkang yang mahu ia dibentangkan di Parlimen sebelum ini demi ketelusan.

Parti pembangkang bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan hasil laporan siasatan itu walaupun ia telah dibentangkan secara terbuka dan PAC dianggotai wakil mereka kerana keputusan siasatan tidak memenuhi agenda mereka untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan