Naib Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw berkata, ti­dak benar untuk mengaitkan Najib yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat berkenaan sedangkan segala urusan 1MDB ditentukan oleh Lembaga Pengurusan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong memberitahu, nama Najib hanya timbul semasa melihat kepada senarai Lembaga Penasihat 1MDB sahaja dan selain daripada itu tiada kaitan.

“Kita tidak boleh kata Perdana Menteri terlibat apabila syarikat ini diuruskan oleh pihak pengurusan, pihak eksekutif. Kami kaji semua ini dan nama Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung.

“Lebih baik kita lihat kepada pihak yang terlibat secara terus, itu langkah yang lebih baik. Kita sepatutnya mengikut peraturan undang-undang bahawa seseorang itu tidak salah selagi tidak didapati bersalah.

“Saya berpendapat Ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan yang perlu disiasat dalam isu ini. Bagaimana kita mahu ambil tindakan terhadap pihak yang tidak buat apa-apa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari.

Mengulas lanjut, Seng Giaw menjelaskan, siasatan PAC terhadap pihak Lembaga Pengurusan 1MDB mendapati wujud kelemahan yang amat besar.

Misalnya, kata Seng Giaw, pihak Lembaga Pengurusan membuat keputusan tetapi tidak semestinya diikuti oleh pengurusan syarikat.

“Pengurusan buat keputusan sendiri. Ini kelemahan besar, tambahan pula pihak pengurusan tidak ikut cara yang berhemat dalam uruskan semua ini dan sebab itu kita berhadapan dengan masalah.

“Saya harap kita dapat siasat siapa yang lakukan ke­salahan ini, terutamanya pihak pengurusan. Siapa? Di mana? Siapa benar-benar terlibat dalam kesalahan ini,” jelas beliau. UTUSAN