AUSTRALIA UMUM TAMATKAN MISI PENCARIAN PESAWAT MH370


KULA LUMPUR: Malaysia menghormati keputusan Australia yang memutuskan untuk menamatkan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac 2014.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, keputusan menamatkan misi pencarian yang dibuat oleh Australia itu berikutan selepas merujuk nasihat daripada pakar yang terlibat.

“Keputusan Australia menerusi Biro Keselamatan Pengangkutan negara itu yang telah mengetuai misi pencarian pesawat tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar.

“Malaysia akan menghormati keputusan itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan berhubung jangkaan kegagalan dalam misi pencarian pesawat MH370 itu.

Ini berikutan kata Martin, lebih daripada 105,000 kilometer persegi dasar laut di selatan Lautan Hindi telah diteroka sehingga 11 Mei lalu, bagaimanapun hanya tinggal 15,000 kilometer persegi sahaja lagi yang belum diteroka sebelum pencarian itu berakhir.

“Semasa kami memulakan pencarian ini, nasihat yang terbaik diterima daripada pakar adalah terdapat kemungkinan tinggi, tetapi, tidak pasti sama ada pesawat itu akan ditemui di kawasan ini,” kata Martin.

Sebelum ini, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia memaklumkan dua kepingan yang ditemui secara berasingan pada Mac lalu di Afrika Selatan dan pulau Mauritius hampir pasti milik MH370.

Pesawat MH370 dilaporkan hilang dari radar etika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur bersama-sama 239 orang penumpang dan krew.