PAS BERJAYA KECILKAN MAJORITI KERANA FAKTOR PENOLAKAN RAKYAT TERHADAP BN


PAS tidak mahu menjadikan faktor pengundi Cina sebagai penyebab undi untuk parti Islam itu meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-13 di kerusi Sg Besar dan Kuala Kangsar tiga tahun lalu.

Sebaliknya pada pendapat timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS berjaya mengecilkan majoriti itu disebabkan faktor penolakan rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional (BN).

Malah tegasnya, jika pengundi bukan Melayu tidak menyokong parti itu bermakna mereka setuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan. 

"PRK ini adalah penting untuk kita hantar isyarat penolakan terhadap apa yang dibuat oleh Najib. Jadi kita harap sama ada dari bangsa Cina atau India atau Melayu, dia mesti memberi undi bagi menghantar isyarat terhadap apa yang berlaku pada negara kita.

"Kalau melihat soal parti, oleh kerana DAP tak bertanding orang Cina tak nak bagi undi pada PAS bermakna mereka menyokong tindakan Najib," katanya kepada Antarapos.

Terdahulu DAP mendakwa PAS tidak akan mampu mengulangi prestasi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ekoran penurunan sokongan oleh pengundi bukan Melayu.

Mwnurut DAP, dakwaan menyatakan PAS boleh menang di kedua-dua pilihan raya kecil itu jika pertandingan satu lawan satu dengan Umno adalah tidak tepat.

Tuan Ibrahim berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) bukan satu perkara yang mudah kerana DAP juga pernah kalah pada PRK Telok Intan sebelum ini.

Justeru beliau menyeru agar semua pengundi tidak kira Cina atau India memberi undi kepada PAS yang juga merupakan salah satu kumpulan blok pembangkang. 

"Saya rasa dalam konteks ini memang payah nak menang PRK, bahkan Telok Intan yang DAP menang dalam PRU pun DAP kalah. 

"Jadi PRK ni atas kertas memang payah nak menang kerana bukan hanya soal PAS yang bertanding tapi sifat PRK tu sendiri. Parti terpaksa berlawan dengan kerajaan Pusat dengan jentera dan dana sebagainya. Sebab tu bagi PAS, semua pengundi tak kira kaum kena beri undi kepada blok pembangkang," katanya.

Beliau terus berharap kedua-dua PRK ini hanyalah pertandingan satu lawan satu agar tidak memberi kelebihan kepada Umno-BN.

Setakat ini hanya DAP menetapkan tidak akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan kerana kedua-dua kawasan itu adalah majoriti Melayu.

Sementara Parti Amanah Negara (PAN) memberitahu bahawa parti itu tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan PAS di kedua-dua kerusi tersebut. Sumber.