KRISIS DAP DAN PKR AKAN BERPANJANGAN



Sikap ego DAP dan PKR yang merasakan parti masing-masing lebih kuat dan berpengaruh, bakal menyaksikan lebih banyak pertelingkahan di dalam Pakatan Harapan (PH) selepas ini, demikian pandangan beberapa penganalisis politik.


Penganalisis geopolitik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, ketika ini perselisihan kedua-dua parti mengenai pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, memulakan episod 'ketidaksepakatan' gabungan berkenaan.

 
 
"Baru-baru ini kita lihat ulasan daripada PKR dan DAP yang rasa kecewa. Dua-dua pihak menyatakan kekecewaan mengapa ini berlaku. 
 
"Ini saya lihat bahawa pakatan mereka ini dibina atas matlamat yang berbeza. Kalau BN mereka mewujudkan pakatan mereka untuk tujuan yang satu iaitu kemenangan BN.
 
"Orang Sarawak atau DAP Sarawak ini merasakan bahawa DAP mempunyai kuasa atau sokongan kuat berbanding PKR. Tapi sebaliknya PKR mengatakan mereka yang lebih kuat. Akhirnya tidak bersatu maka berlakulah peristiwa ini yang kita akan lihat pada 7 Mei ini," katanya kepada Antarapos ketika ditemui baru-baru ini.
 
PKR dan DAP membuat kejutan pada hari penamaan calon Isnin lalu, apabila enggan mengalah dengan meletakkan calon masing-masing selepas gagal mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi.
 
Akhirnya, kedua-dua parti tunjang Pakatan Harapan itu bakal bertembung di enam kerusi DUN iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong. 
 
Sementara itu bagi seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berpendapat, perjanjian yang dimeterai Pakatan Harapan pada Januari lalu yang turut menyentuh mengenai soal pembahagian kerusi, hanyalah sekadar di atas kertas tanpa dizahirkan secara realiti. 
 
Salawati merujuk kepada tujuh asas perjanjian yang ditandatangani DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), yang mana gabungan itu sepakat untuk meletakkan hanya seorang calon di setiap kerusi bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
 
Ia terkandung dalam Fasal 5 perjanjian yang menyebut: "Pakatan Harapan meletak satu calon sahaja mewakili Pakatan Harapan dalam sesuatu pilihan raya di mana-mana peringkat."
 
Fasal itu dibacakan oleh Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook.
 
"Masing-masing merasakan bahawa mereka ada potensi untuk menang di kawasan-kawasan tertentu di negeri Sarawak.
 
"Oleh itu apabila perjanjian itu terpaksa dilupakan untuk memastikan bahawa calon masing-masing yang berpotensi perlu dikemukakan di kawasan komersial.
 
"Jadi apabila perkara ini terjadi bermakna tidak berbalik kepada perjanjian asal yang kononnya nanti ingin bertemu hanya satu lawan satu," ujarnya.
 
DAP dan PKR pada ketika ini mengelak untuk memperkatakan mengenai perselisihan berkenaan dan mahu menyelesaikannya selepas hari pengundian PRN pada 7 Mei ini. antarapos