LEBIH 200 KELUARGA TERIMA BANTUAN DARI YAYASAN BASMI KEMISKINAN PADA RAMADHAN INI


Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mensasar untuk mengagihkan kepada lebih daripada 200 keluarga fakir miskin dengan nilai sumbangan sebanyak RM600 setiap keluarga sempena bulan Ramadan tahun ini menerusi program Sinar Kasih Ramadan.  

Sumbangan diterima daripada orang ramai dan sektor korporat akan diserahkan sepenuhnya kepada ketua keluarga yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan dan mempunyai isi rumah seramai empat atau lima orang.


Program Sinar Kasih Ramadan yang memasuki tahun ke lapan penganjurannya merupakan usaha bersepadu untuk mendidik, menggerak dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan bersedekah.  Ia juga bertujuan untuk membantu golongan fakir miskin menyediakan keperluan asas pada kadar mencukupi untuk bersahur dan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.

Program Sinar Kasih Ramadan 2016 dilancarkan hari ini di Kuala Lumpur oleh Pengerusi YBK, Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, dengan penerimaan cek sumbangan daripada lapan buah syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan.  

Program yang mula dianjurkan pada tahun 2002, telah mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti PIMPINAN, Karangkraf, Astro Awani, Usahanita, Sinar Harian, Kimma, dan Puspanita Kebangsaan.  Gerak kerja program Sinar Kasih Ramadan kali ini melibatkan sukarelawan-sukarelawan yang digelar Mujahid Tulus sebagai rakan strategik YBK.

Mengikut pencapaian program ini, YBK berjaya mengumpul dalam RM98 ribu pada tahun 2002 dengan nilai sumbangan sebanyak RM215 telah diserahkan kepada 456 buah keluarga.  Nilai sumbangan kepada keluarga miskin dan asnaf dengan empat atau lima orang isi rumah meningkat mengikut Pendapatan Garis Kemiskinan tahun berkenaan di mana kutipan sebanyak RM171 ribu dan nilai sumbangan RM400 diserahkan kepada 427 keluarga (2009); RM137 ribu dan nilai sumbangan RM430 diserahkan kepada 318 keluarga (2010); RM115 ribu dan nilai sumbangan RM460 diserahkan kepada 249 keluarga (2011); RM104 ribu dan nilai sumbangan RM510 diserahkan kepada 203 keluarga (2012); RM89 ribu dan nilai sumbangan RM550 diserahkan kepada 161 keluarga (2013) dan RM98 ribu berjaya mengutip dengan sumbangan sebanyak RM560 telah diserahkan kepada 175 keluarga pada tahun 2015 sebelum tiba bulan Ramadan.

Penderma boleh menyumbangkan wang tunai terus ke akaun Bank Islam Berhad (No Akauan: 12038010002132) atau cek kepada Yayasan Basmi Kemiskinan.  Setiap sumbangan akan diberi resit pengecualian cukai pendapatan.

YBK berdiri teguh selama 26 tahun sejak ditubuhkan pada 1990 untuk mencapai visi dan misi membasmi kemiskinan.  Namun, ia semestinya bukan satu tugas yang mudah.  Membantu golongan fakir dan miskin memerlukan sokongan daripada semua pihak. YBK mengalu-alukan  sumbangan daripada pelbagai pihak dan menggesa agar semua pihak bersama-sama berganding bahu dalam usaha membasmi kemiskinan yang sentiasa menjadi agenda nasional.