UMNO PRLUKAN PAS UNTUK HADAPI PRU 14


BANGI, Ahad – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, kemungkinan kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah amat serius.

Beliau berkata, untuk menyelamatkan kerajaan BN, UMNO perlu bekerjasama dengan PAS.

“Cara lebih mudah ialah pada PRU-14, UMNO dan PAS bertanding seperti biasa (Jika boleh bersetuju tidak menentang satu sama lain, terutama sekali bagi kerusi Parlimen, lagi baik).

“Jika nampak Kerajaan Persekutuan BN akan tumbang, PAS segera sertai kerajaan BN,” katanya menulis dalam ruangan Komentar Berita Minggu, hari ini.

Katanya, adalah lebih baik lagi jika cara itu juga diguna pakai pada peringkat negeri bagi menggagalkan DAP, PKR dan PAN daripada menubuhkan kerajaan.

Abdul Hamid berkata, hak dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam mesti kekal berada dalam keadaan sekarang sejak merdeka, hasil daripada pemerintahan BN yang diterajui UMNO.

Katanya, sekiranya pembangkang berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU-14 dan jika pun PAS bersama mereka, parti yang dominan adalah DAP dan harapan PAS untuk melaksanakan hudud akan terkubur.

“Di samping itu, hak dan kedudukan orang Melayu (dan anak negeri Sabah, Sarawak) serta agama Islam akan terhakis kerana orang bukan Islam (terutama sekali orang Cina) sokong pembangkang kerana mereka mahu lebih daripada apa yang diperoleh melalui MCA dan Gerakan,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya Perkasa juga turut menyertai perpaduan UMNO dan PAS bagi mengelak perpecahan orang Melayu menjadi lebih serius.

“Pendekatan utamakan tiga kumpulan ini perlu dilakukan segera, malah perlu meterai sebelum PRU-14,” katanya.