PILIH ORANG KALIBER TERAJUI FAM.

SEREMBAN – Jangan pegang jawatan hanya untuk me­nunjuk-nunjuk pangkat dan memanaskan kerusi dalam organisasi Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) kerana apa yang diinginkan orang ramai adalah perubah­an demi memastikan lonjak­an dalam arena bola sepak negara dapat dilakukan.
Perkara itu dinyatakan oleh Pre­siden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu pemilihan untuk mengisi jawatan Presiden dan Timbal­an Presiden FAM dalam kongres pada 25 Mei ini dijadikan sebagai medan untuk memilih calon berkaliber.
“Kepada semua ahli gabungan dalam FAM inilah masanya untuk memilih mereka yang kita rasakan benar-benar layak dan mampu membawa per­ubahan kepada arena bola sepak kita. Pilih orang yang berkaliber untuk memandu FAM ke tahap yang lebih tinggi.
“Apa yang saya katakan ini bukanlah untuk memilih orang baharu buang orang lama. Orang lama pun bagus tetapi dia mestilah bekerja dalam satu pasukan.
“Kalau menang tetapi tidak sehaluan dan tidak boleh bekerjasama itu tidak bolehlah. Kita tawarkan diri jadi Presiden atau Timbalan Presiden mesti boleh bekerja dalam satu pasukan dan jangan buat hal sendiri, dan apabila digantung marah kepada FAM,” katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma negeri di sini semalam.
Beliau juga memberitahu telah menolak pencalonan untuk dirinya bagi bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden (FAM) biarpun telah mendapat pencalonan daripada ahli gabung­an dalam FAM.
Ditanya sebab beliau menolak jawatan berkenaan, Mohamad berkata, beliau hanya mahu melonjakkan prestasi bola sepak di negeri ini selain me­numpukan sepenuh masa beliau untuk tugas rasmi selaku Menteri Besar.
Bagaimanapun selaku Presiden PBNS, katanya, beliau akan menyokong sesiapa sahaja yang layak dan mampu untuk membantu dan me­nyumbang kepada kegemilangan bola sepak tanah air.
“Saya pun tidak suka pegang ba­nyak sangat jawatan sebab sekarang ini pun dah banyak jawatan saya pegang.
Bola sepak di negeri ini pun kadang-kadang memeningkan kepala saya,” katanya sambil berseloroh.
UTUSAN ONLINE

0 comments: