Oleh: Kwok Chin Hoe
Kegiatan pembalakan haram dan rasuah dalam aktiviti pembalakan yang kian meruncing, malah makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga ada pembalak haram yang berani mencerobohi kawasan hutan dilindungi diyakini membawa pelbagai implikasi buruk kepada negeri Sarawak. Keadaan ini menuntut tindakan segera pelbagai pihak, terutamanya kerajaan negeri bagi membendung aktiviti tersebut.
Aktiviti pembalakan haram yang berlaku bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi, kerugian jutaan ringgit kepada negeri Sarawak, kemusnahan terhadap alam sekitar, ancaman terhadap ekosistem flora dan fauna, tetapi juga telah menjadi barah yang mendatangkan implikasi politik, membentuk imej negatif pihak luar dan persepsi buruk dalam kalangan anak Sarawak terhadap isu berkenaan yang tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh buat sekian lamanya.
Lantaran itu, Tan Sri Adenan Satem yang menggalas amanah sebagai ketua eksekutif negeri ini sejak Februari lalu bertegas untuk memerangi aktiviti pembalakan haram dan pembabitan suapan rasuah antara pembalak haram dengan anggota penguat kuasa agensi kerajaan yang membuka ruang kepada kegiatan tersebut.
Buktinya, pelbagai langkah telah diadakan bagi membendung sindiket haram pembalakan seperti membekukan pengeluaran lesen pembalakan baharu sehingga berjaya mengurang kes penyeludupan kayu balak dan pembalakan haram serta akan melengkapkan 50 pegawai penguatkuasaan Jabatan Perhutanan dengan senjata api bagi operasi membanteras aktiviti itu.
Semenjak mengambil ahli tampuk pentadbiran negeri, Tan Sri Adenan Satem turut meminta pembayaran royalti minyak dan gas yang lebih tinggi untuk negeri Sarawak daripada kerajaan persekutuan iaitu daripada 5 peratus kepada 20 peratus.
Permintaan tersebut sememangnya mendapatkan sokongan padu anak-anak Sarawak yang menginginkan kekayaan hasil bumi dan sumber asli negeri itu turut dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Sarawak.
Pembayaran royalti yang lebih tinggi itu nanti dapat dimanfaatkan bagi merancakkan lagi pembangunan di negeri Sarawak, memandangkan peruntukkan belanjawan yang tinggi diperlukan kerajaan negeri bagi membangunkan kawasan luar bandar, membekalkan penduduk di luar bandar dengan kemudahan asas dan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, membasmi kemiskinan tegar serta meningkat kualiti perkhidmatan sosialnya.
Tidak kurangnya juga pendirian tegas kerajaan negeri dalam usaha memelihara hubungan baik dan kesepaduan penduduk berbilang kaum dan etnik di negeri ini yang harus dipuji. Jaminan bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negeri Sarawak dan janji daripada Ketua Menteri Sarawak bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan Bible dirampas di negeri itu memberi kepastian kepada rakyat berlatar belakang pelbagai anutan agama bahawa mereka dapat terus hidup bersama secara aman dami dan harmoni seperti sedia kala.
Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) (Twitter : @kwokchinhoe) (email : chinhoekwok@gmail.com)