Showing posts with label Columnist. Show all posts

KERJA KOMUNITI TINGKAT KEPEDULIAN MAHASISWA

Oleh:Kwok Chin Hoe 

Kerja Komuniti Tingkat Kepedulian Mahasiswa Sepanjang semester kedua, tahun ini, sempat bersama empat kumpulan pelajar, tahun pertama, Universiti Malaya (UM) dalam menjayakan projek komuniti yang diadakan di perumahan dan flat kos rendah. Daripada empat kumpulan pelajar ini, dua kumpulan pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan, masing-masing satu kumpulan daripada Fakulti Sains serta Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Mereka dikehendaki melakukan projek komuniti, melengkapi 32 jam, sebagai pra-syarat lulus subjek wajib universiti, subjek Jalinan Masyarakat! Sepanjang 6-7 minggu menjalankan program bersama, pelbagai kisah, peristiwa suka, duka, lucu, gembira dan tidak kurangnya juga pengalaman yang memeningkan tatkala mengkoordinasi  kerja komuniti di lapangan untuk para pelajar ini.

Namun, semua itu amat bererti, apabila sesi refleksi, di akhir sesi bersama pelajar-pelajar ini, testimoni mereka membuktikan seperkara penting, penyertaan mereka berminggu-minggu dalam kerja komuniti di lapangan, bukan hanya sekadar 'buat kerja', tetapi telah berhasil merubah peribadi mereka, mentransformasikan sikap individualisme dalam diri mereka kepada altruisme, tingkah laku yang asalnya berfokus pada diri, kini sudah mahu peduli akan nasib komuniti, sedia memberi dan menyumbang kembali masa dan tenaga demi warga tercinta, tahu mengutamakan orang lain!

Inilah contoh generasi akan datang yang kita mahu bentuk dan bina, bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, bukan hanya berbicara soal kejayaan diri yang di kecapi, tetapi generasi yang ambil peduli terhadap komuniti di sekitarnya, miliki tanggungjawab sivik yang tinggi, baik tanggungjawab terhadap keluarga, komuniti atau pun negara! Tahniah buat warga pendidik di universiti, moga usaha baik ini terus diwarisi, demi melahirkan generasi mahasiswa dan mahasiswi yang peduli!

Kwok Chin Hoe 
Calon PhD Pembangunan Komuniti, UPM

LIF ROSAK JEJAS RUTIN HARIAN PENGHUNI DI PPR


Oleh: Kwok Chin Hoe

Masalah lif, kegiatan vandalisme, tempat parkir yang tidak cukup, masalah sampah dan masalah kebersihan, isu kebocoran paip serta soal keselamatan seolah-olah sudah sebati dan sinonim dengan kehidupan penghuni di perumahan kos rendah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Sebut saja tentang PPR atau turun saja ke lapangan melawat kawasan berkenaan, maka akan didapati bahawa sebahagian besar perumahan kos rendah yang ada di negara ini berdepan masalah yang sama seperti disenaraikan di atas. 

Masalah kerosakan lif dan lif tidak berfungsi merupakan antara masalah utama di PPR. Apabila berlakunya kerosakan lif atau lif tidak berfungsi, serta proses penyelenggaraan dan kerja baik pulih oleh agensi berkaitan mengambil masa berbulan lamanya, maka ia menimbulkan pelbagai masalah hingga menjejaskan rutin harian dan menyulitkan kehidupan penduduk di PPR. Keadaan makin getir lebih-lebih lagi di waktu puncak, di mana semua penghuni akan berebut-rebut untuk menggunakan lif, ada penghuni yang terkejar-kejar untuk keluar bekerja dan ada yang mengejar masa untuk ke sekolah. 

Selain itu, kegagalan lif sedia ada berfungsi turut menyebabkan penghuni yang tinggal di tingkat atas terpaksa menaiki anak tangga, menyebabkan mereka mengambil masa yang lama untuk sampai ke rumah masing-masing atau sebaliknya apabila ingin keluar rumah. Keadaan sedemikian pastinya amat membebankan penduduk setempat khususnya dalam kalangan warga emas dan OKU, menanggung keperitan turun naik anak tangga yang jaraknya melangkau berbelasan tingkat dari unit kediaman mereka. 

Situasi bertambah buruk apabila berlakunya kes-kes kecemasan seperti sakit, kemalangan di rumah atau kes kematian melibatkan penduduk yang tinggal di tinggal atas. Tanpa ada pilihan, penduduk terbabit terpaksa rela menuruni anak tangga, tingkat demi tingkat  untuk dapatkan khidmat bantuan.  

Selain masalah kerosakan lif dan kesan kerosakan yang dinyatakan di atas itu, penghuni di PPR juga kerap kali berdepan dengan masalah lif dipenuhi dengan bau busuk dan hancing, sampah-sarap yang dibuang di dalam dan luar lif serta kesan –kesan kegiatan vandalisme seperti contengan atau simbahan cat pada lif sehingga menimbulkan ketidakselesaan pada mereka yang menggunakan lif.  

Oleh itu, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seharusnya meletakkan keutamaan pada isu ini dan bekerjasama mengenal pasti lif yang rosak atau tidak berfungsi di PPR di setiap negeri serta bertindak segera bagi memulakan kerja penyelenggara dan membaik pulih kerosakan tersebut, di samping meneruskan usaha pemantauan berkala bagi memastikan lif yang telah dibaiki itu berfungsi sebaiknya demi keselesaan dan kesejahteraan penghuninya.   

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

BAIKI SEGERA JALAN ROSAK DAN BERLUBANG DI PEKAN SONG

Oleh: Kwok Chin Hoe

Isu jalan rosak, berlubang, tidak rata terus menjadi masalah setempat yang menghantui pengguna jalan raya di Daerah Song, Sarawak. Setiap hari, penduduk di sekitar pekan Song berdepan dengan risiko bahaya kemalangan berikutan status jalan yang menghubungkan kawasan penempatan kampung dengan pekan itu berada dalam kondisi yang teruk, rosak, berlubang dan sebahagiannya adalah jalan tidak berturap tar yang dipenuhi batu-batuan yang menjadi alas jalan  itu. 

Terbaharu, kerosakan seumpamanya berlaku di sepanjang jalan Sepadi dan Bukit Selabi iaitu laluan tunggal yang membolehkan penduduk di Takan, Nyimoh, Miau dan Tekalit berkunjung ke Pekan Song. Jalan tersebut adalah laluan harian kepada pelajar dan guru untuk ke sekolah dan juga kepada penduduk setempat yang ingin mendapatkan pelbagai perkhidmatan atau kemudahan di Pekan Song. 

Kejadian serupa sudah pun berlaku buat sekian lamanya, bukan sekadar melibatkan jalan di Sepadi dan Bukit Selabi, tetapi juga membabitkan jalan sepanjang Pekan Song itu sendiri. Apa yang lebih membimbangkan penduduk setempat adalah ketika musim hujan melanda, lubang-lubang yang terbentuk atas jalan itu dipenuhi dengan air bertakung dan dikhuatiri mengancam keselamatan pengguna jalan raya. 


Sungguhpun banyak aduan telah dikemukakan, bahkan hebahan mengenai masalah tersebut pernah mendapat liputan daripada akhbar lokal, namun, keperitan yang dialami oleh pengguna jalan raya di pekan kecil ini seolah-olah tidak diendahkan. Sebaliknya, jalan yang rosak dan berlubang itu hanya ditutupi dengan batu-batuan hingga mengundang rungutan dalam kalangan pengguna kerana usaha tersebut lebih membahayakan pengguna jalan raya khususnya dalam kalangan penunggang motosikal yang berulang-alik menggunakan laluan tersebut. 

Bukan itu saja, malah kemalangan melibatkan kenderaan seperti kereta, van atau lori juga mudah berlaku apabila pemandu memilih untuk mengelak lubang-lubang berkenaan dan masuk ke laluan bertentangan. Situasinya lebih menakutkan lagi di sebelah malam kerana laluan jalan yang rosak itu sebenarnya agak gelap tanpa lampu jalan. Ini meningkatkan lagi risiko kemalangan membabitkan pengguna jalan dan penduduk yang tinggal di desa itu. 


Sememangnya menjadi amanah agensi kerajaan berkenaan bagi memastikan bahawa jalan-jalan yang rosak di selenggara dengan secepat mungkin. Pemimpin masyarakat juga seharusnya lebih peka, prihatin akan masalah setempat dan berikhtiar menyegerakan penyelesaian masalah tersebut, bukan sebaliknya. Justeru itu, pihak yang berwajib sewajarnya bertindak pantas memastikan aduan lama oleh penduduk setempat dapat diatasi dengan kadar segera.

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)

CABARAN DAN PENGORBANAN WARGA PENDIDIK LUAR BANDAR


Oleh: Kwok Chin Hoe

Mereka merentasi sempadan udara, darat dan air sungai untuk tiba di laman sekolah demi mendidik, mencurahkan ilmu, membawa harapan dan nafas baru kepada anak bangsa tempatan. Begitulah gambaran perjalanan yang harus diharungi oleh guru-guru terutamanya mereka yang berasal daripada Semenanjung Malaysia dan ditempatkan untuk mengajar di sekolah luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Bahagian Kapit, Sarawak - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas. 

Pengembaraan para guru daripada Semenanjung Malaysia menuju ke SMK Katibas iaitu tempat di mana mereka akan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pendidik dimulai dengan menaiki penerbangan ke Bandar Sibu, Sarawak. 

Sesudah tiba di Sibu, mereka perlu meneruskan perjalanan dengan menaiki bot ekspres yang membelah arus menongkah ke hulu Sungai Rejang selama 2 jam untuk tiba di pekan kecil Daerah Song yang terletak di Bahagian Kapit, sebuah daerah terpencil yang hanya dapat dihubungi menerusi jalan air. 

Setibanya di Pekan Song, guru-guru ini perlu menyambung semula perjalanan mereka dengan menggunakan khidmat perahu panjang yang disediakan oleh pihak sekolah, menyusuri Sungai Katibas – salah sebuah cabang sungai yang terdapat di Daerah Song, menghala ke arah hulu selama 30 hingga 40 minit sebelum tiba di destinasi yang ditujui iaitu SMK Katibas. 

Di situlah tempat para guru ini berkhidmat dan berbakti untuk sekian tahunnya. Perjalanan yang sama harus diharungi oleh guru-guru ini setiap kali mereka ingin mengunjungi kawasan bandar atau berhasrat pulang ke kampung halaman masing-masing tatkala tibanya musim cuti sekolah atau sambutan perayaan.  

Selain menanggung segala penat lelah dan risiko bahaya perjalanan bagi menjejakkan kaki ke sekolah ini, lokaliti sekolah tersebut yang terletak jauh dari lingkungan bandar atau pekan turut mengakibatkan guru-guru berdepan dengan pelbagai cabaran dalam sesi pengajaran kerana masalah kemudahan pengajaran yang terhad dan infrastruktur yang tidak lengkap di sekolah tersebut. 

SMK Katibas yang terletak di kawasan pedalaman dan dikelilingi bukit-bukau turut tidak memungkinkan guru untuk menikmati pelbagai kemudahan telekomunikasi seperti di kawasan bandar, justeru itu, mereka tidak dapat berhubung secara langsung dengan dunia luar. 

Para guru juga harus membiasakan diri dengan bekalan elektrik yang bersifat berkala dan masalah mendapatkan bekalan air bersih. Kondisi sedemikian menuntut ketabahan dan kesabaran yang tinggi dalam kalangan warga pendidik di sekolah ini. 

Selain itu, perbezaan sosiobudaya dalam kalangan pelajar atau komuniti setempat turut dianggap sebagai cabaran buat guru yang berasal daripada Semenanjung Malaysia. Majoriti pelajar di SMK Katibas terdiri daripada pelajar berbangsa Iban daripada kawasan rumah panjang sekitarnya. 

Guru-guru berdepan dengan cabaran untuk mempelajari bahasa ibunda atau dialek komuniti setempat demi memastikan mereka dapat mendekatkan diri, memudahkan proses suai kenal, meningkatkan kemesraan antara guru dengan pelajar serta meningkatkan penerimaan pelajar terhadap guru dan perhubungan baik ini seterusnya diyakini dapat menyumbang kepada keberkesanan sesi pengajaran yang diadakan. 

Walau apa pun rintangan atau cabaran yang mendatang, moga guru-guru di SMK Katibas dan mereka yang mengajar di sekolah luar bandar akan terus mengekalkan keterujaan merealisasikan misi mendidik anak bangsa tempatan menjadi insan yang berjaya. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

TREND SEBAR BERITA PALSU MEMBIMBANGKAN

Oleh: Kwok Chin Hoe

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak mempengaruhi budaya kehidupan masa kini. Ketersediaan pelbagai aplikasi seperti WhatsApp’s, Telegram serta kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter telah menjadi medium komunikasi dan medan orang ramai mendapatkan informasi terkini. Di sebalik kemajuan tersebut, ada pula individu yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan serta menjadikan ruang digital tanpa sempadan itu sebagai platform menyebarkan berita palsu.

Sejak dua minggu kebelakangan ini, banyak kes berita palsu dikesan, melibatkan pemberitaan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur serta pemalsuan berita asal berkenaan tempoh penangguhan sesi sekolah 2015, berikutan bencana banjir yang berlarutan menyebabkan sebahagian sekolah terjejas atau menjadi Pusat Pemindahan Sementara. 

Sekurang-kurangnya sebanyak sepuluh berita palsu mengenai banjir telah dikenal pasti berlegar di laman media sosial. Antaranya adalah berita yang mengkhabarkan berlakunya keruntuhan pusat pemindahan Sekolah Manek Urai, berita palsu yang menuduh kerajaan menyembunyikan fakta kematian ramai orang mati lemas kerana banjir, pintu empangan di Selatan Thailand dibuka dan menyebabkan banjir di Kelantan, bantuan kepada mangsa banjir disekat oleh pihak berkuasa dan sebagainya. 

Berita-berita rekaan yang belum disahkan kesahihannya itu langsung menjadi viral di media sosial sehingga menimbulkan keresahan dan mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara.

Sungguhpun sudah ada tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap individu yang disyaki terbabit menyebarkan berita palsu berkenaan, bahkan amaran kepada orang awam untuk tidak menyebarkan berita palsu turut dikeluarkan, namun, masih ada individu yang tidak merasa serik dan takut, apabila selang beberapa minggu selepas kes penyebaran berita palsu mengenai banjir itu, muncul pula pemalsuan berita berkaitan tempoh penangguhan cuti sekolah. 

Individu yang terlibat mengubah tajuk berserta isi kandungan rencana asal terbitan media arus perdana, daripada tajuk asal “Sesi persekolahan 2015 ditangguh seminggu” disunting menjadi “Sesi persekolahan 2015 ditangguh sebulan”. Sebuah lagi rencana yang disunting pula membuat rekaan kononnya penangguhan seminggu sesi sekolah 2015 yang diumumkan sebelum itu telah dibatalkan. 

Tindakan si pelaku menyebarkan salinan “print screen” berita yang telah disunting itu cukup mengelirukan orang awam, sehingga ramai yang tertanya-tanya kesahihan berita tersebut. Bahkan ada juga yang percaya ia adalah berita yang sahih. 

Gara-gara berita palsu itu, ibu bapa, guru dan pelajar menjadi keliru dan rasa resah. Mujurlah tindakan pantas Kementerian Pendidikan mengesani dan memberi respons menafikan penyebaran berita palsu itu berhasil menangkis kekeliruan masyarakat terhadap penyebaran berita palsu itu.  

Trend menyebarkan berita palsu di media sosial ini sudah menjadi satu bahana yang cukup parah. Jika tidak ditangani dari peringkat awal dan secara menyeluruh, dikhuatiri trend ini akan menjadi ikutan dan modus operandi  seumpamanya akan terus diguna pakai oleh individu-individu tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan fitnah dan berita-berita tidak sahih yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan, keamanan dan keharmonian negara kita. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

MYCORPORATE CARE MERANCAKKAN AKTIVITI TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT


Oleh: Kwok Chin Hoe

Pelancaran portal MyCorporate Care iaitu platform yang menyediakan sistem bagi menghubungkan syarikat, badan-badan korporat atau individu yang ingin melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada institusi-institusi kebajikan atau Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK), pastinya akan merancakkan lagi aktiviti CSR di negara ini. 

Portal MyCorporate Care ini dibangunkan secara percuma hasil perkongsian kerja antara kerajaan dengan sektor korporat iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan Syarikat Kometsoft, di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. 

Jika sebelum ini, iaitu sebelum kewujudan portal MyCorporate Care, syarikat atau badan-badan korporat yang berhasrat berpartisipasi dalam memenuhi tuntutan tanggungjawab sosial mereka kepada pembangunan masyarakat dan negara, kerap kali berdepan dengan pelbagai situasi  ‘ketidakpastian’ sehingga boleh membantutkan niat murni mereka. 

Ketiadaan sebuah platform yang menghubungkan kedua-dua pihak yang terlibat, menyebabkan syarikat korporat atau swasta tidak jelas tentang keperluan sebenar klien atau pertubuhan kebajikan, jenis sumbangan yang boleh mereka salurkan, individu yang sepatutnya mereka hubungi bagi menyampaikan sumbangan tersebut, saluran bagi mengesahkan sama ada penerima sumbangan adalah pertubuhan kebajikan yang sah atau sebaliknya dan sebagainya. 

Kini, menerusi penggunaan portal MyCorporate Care, pelbagai halangan yang dihadapi oleh syarikat dan badan korporat dalam proses menggerakkan tanggungjawab sosial mereka seperti yang disenaraikan di atas akan dapat diatasi menerusi portal itu.  

Maklumat lengkap Pertubuhan Sukarela Kebajikan
Portal ini memuatkan maklumat lengkap mengenai Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang merangkumi latar belakang pertubuhan, jenis aktiviti yang dijalankan, individu yang boleh dihubungi dan sebagainya. Selain itu, status PSK yang disenaraikan di portal ini juga sah dari segi penubuhannya, mematuhi keperluan mengikut Akta Pertubuhan 1966, Akta Pusat Jagaan 1993 atau undang-undang Tubuh yang lain. 

Keperluan sebenar 
Portal ini turut menyenaraikan keperluan pertubuhan kebajikan, di mana keperluan tersebut yang telah diteliti akan disenaraikan di portal itu. Ini akan memudahkan usaha untuk memadankan keperluan pertubuhan kebajikan dengan sumber atau sumbangan daripada syarikat atau badan korporat. 

Mempercepatkan urusan 
Dengan adanya segala butiran yang diperlukan, kedua-dua pihak iaitu pertubuhan kebajikan atau syarikat dan badan korporat akan dapat mempercepatkan urusan mengendalikan sumbangan berbanding dengan kaedah konvensional yang memakan masa panjang.  

Demi memastikan inisiatif menerusi portal ini dapat dioptimumkan dan memberikan impak sosial kepada kumpulan atau komuniti sasar, pertubuhan kebajikan dan sektor swasta, maka pemantauan rapi diperlukan bagi memastikan portal itu tidak disalahgunakan, seperti memastikan tiada pertubuhan kebajikan yang memohon sumbangan yang berada di luar skop keperluan dan memastikan sumbangan yang diterima oleh mereka adalah untuk manfaat klien di pertubuhan berkenaan sepenuhnya. 

Selain itu, permohonan sumbangan oleh PSK tidak hanya memfokuskan kepada keperluan material semata-mata, tetapi juga menuntut sokongan dari segi latihan dan kemahiran, bengkel, modul pembangunan kendiri dan keluarga, tenaga sukarelawan dari syarikat atau badan korporat berkenaan dan sebagainya. 

Akhirnya, portal ini diharapkan tidak bertindak sebagai platform transaksi bersifat “Touch N Go” semata-mata, sebaliknya menuntut kerjasama erat berterusan yang menggabungkan kepakaran dan pengalaman luas pihak pertubuhan kebajikan di lapangan serta pihak syarikat dan badan korporat yang memiliki pelbagai sumber serta kesedaran akan tanggungjawab sosial dalam membawa impak positif serta meningkatkan kesejahteraan hidup individu, keluarga, komuniti dan masyarakat di negara ini. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

Layari laman sesawang MyCorporate Care di www.mycorporatecare.jkm.gov.my

TANGANI IMPAK KEMASUKAN PEKERJA BANGLADESH KE SARAWAK

Oleh: Kwok Chin Hoe

Usaha membawa masuk seramai 12,000 orang pekerja Bangladesh ke Negeri Sarawak merupakan langkah permulaan oleh kerajaan bagi memenuhi tuntutan keperluan tenaga kerja yang tinggi sehingga mencecah angka 62,000 orang di negeri itu. 

Kemasukan pekerja asing itu pada peringkat awalnya memang diakui dapat membantu negeri tersebut mengatasi masalah ketidakcukupan tenaga buruh, khususnya dalam sektor pertanian dan perladangan yang kurang mendapat sambutan daripada warga kerja tempatan, berikutan gaji yang rendah, selain perlu bekerja di persekitaran yang tidak menyenangkan, melibatkan kerja-kerja berbahaya atau berisiko dan kotor. 

Sungguhpun kemasukan pekerja Bangladesh yang ramai itu dapat mengatasi isu keperluan tenaga kerja di Sarawak, namun pada masa yang sama, kehadiran dan kebanjiran mereka di negeri itu, jika tidak diurus secara bijaksana, berupaya mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan kesejahteraan dan keharmonian rakyat tempatan.

Pertama, kemasukan pekerja asing ini dikhuatiri akan menutup peluang pekerjaan penduduk setempat khususnya penduduk di luar bandar. Bayaran gaji pekerja asing yang murah menyebabkan syarikat, pengusaha atau majikan perladangan lebih mengutamakan pengambilan pekerja asing untuk bekerja dengan mereka. Akhirnya, pekerja tempatan berstatus tidak mahir atau pekerjaan am sukar dapatkan pekerjaan di kawasan mereka. 

Kedua, statistik turut membuktikan bahawa warga asing adalah penyumbangan kepada indeks jenayah di negara ini. Pada tahun 2014, Januari hingga September sahaja, seramai 14,143 orang warga asing telah ditangkap bersamaan 14% daripada 97,393 kes jenayah indeks yang dilaporkan seluruh negara. Maka, bilangan pekerjaan asing Bangladesh yang semakin ramai menjejakkan kaki di bumi Sarawak juga dikhuatiri akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah dan mengugut keselamatan penduduk setempat di negeri itu. 

Ketiga, kebanjiran pekerja asing ini juga diyakini akan menggalakkan lagi sindiket pemalsuan dokumen perjalanan diri seperti pasport, kad pengenalan dan permit, semata-mata bagi memenuhi niat mereka untuk terus tinggal dan bekerja di negara ini. Jika tidak ditangani sebaik mungkin, kes-kes seumpama ini akan memberi impak negatif dan menjejaskan aspek keselamatan serta imej negara. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

PENANTIAN PERIT PENDUDUK SARAWAK BAKAL BERAKHIR



Oleh: Kwok Chin Hoe

Setelah sekian lama menanti, penduduk luar bandar di Sarawak, khususnya penduduk di Daerah Kapit dan Song akhirnya akan dapat menikmati kemudahan jalan darat yang menghubungkan kedua-dua daerah berkenaan dengan kawasan bandar lain di negeri tersebut.

Sebelum projek pembinaan jalan raya Kapit-Song-Kanowit yang dijangka siap menjelang tahun 2017 itu, penduduk di Daerah Kapit dan Song bergantung sepenuhnya pada pengangkutan air – bot ekspres, dan Sungai Rejang sebagai landasan penghubung utama untuk mereka meninggalkan atau menuju ke Sibu, Kapit dan Song. 

Umum mengetahui, penumpang bot express sentiasa berdepan dengan risiko bot karam, khususnya di musim perayaan. Apa yang kerap kali mengakibatkan tragedi sedemikian berlaku adalah kerana muatan penumpang berlebihan daripada yang telah disyaratkan. 

Kejadian seumpama ini memang kerap berlaku dan telah banyak dilaporkan di media massa sebelum ini. 

Selain itu, kebergantungan penuh penduduk di Kapit dan Song terhadap pengangkutan air turut mendatangkan pelbagai kesulitan dan implikasi kepada  kehidupan seharian penduduknya. 
Malah, ketiadaan kemudahan jalan darat itu juga turut membantutkan pembangunan sektor sosio-ekonomi di kawasan berkenaan, mengehadkan akses penduduk setempat ke atas perkhidmatan sosial tertentu yang hanya boleh didapati di kawasan bandar seperti Sibu, dan akhirnya, jurang pembangunan dan ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar terus meningkat.  

Oleh itu, harus diakui bahawa apabila ada jalan darat yang menghubungkan Kapit-Song-Kanowit nanti, ia akan menyumbang pelbagai manfaat kepada penduduk di Kapit dan Song. 

Pertama,  penyediaan jalan raya itu nanti akan memberi keselesaan dan memudahkan perjalanan  atau pergerakan penduduk di Kapit dan Song untuk keluar masuk ke kawasan bandar khususnya waktu perayaan dan cuti sekolah. 

Kedua, ia dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi, di mana peniaga, usahawan, petani di Kapit dan Song dapat meningkatkan penghasilan produk atau tanaman mereka dan kemudiannya dapat memasarkan hasil tersebut di bandar seperti Sibu serta memajukan sektor pelancongan di kedua-dua daerah itu yang cukup kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan.  

Ketiga, pembinaan jalan Kapit-Song-Kanowit itu nanti turut diyakini akan merancakkan lagi aktiviti pembangunan, fizikal atau sosial dan meningkatkan akses penduduk setempat terhadap perkhidmatan sosial bagi memenuhi keperluan sosial mereka. Ini seterusnya akan berhasil merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di negeri itu. 

Sudah tentu, manfaat-manfaat itu akan dapat dinikmati oleh penduduk di Daerah Kapit dan Song hanya bila kita dapat memastikan pembinaan jalan raya berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Justeru itu, sepanjang proses pembinaan, harus ada pemantau secara berkala oleh agensi kerajaan bagi menilai progress pembinaan jalan itu dan sentiasa memaklumkan kepada penduduk setempat kemajuan semasa pembinaan jalan tersebut. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

MENANGANI KES BULI DAN BULI SIBER


Oleh: Kwok Chin Hoe

Kes buli dan gengsterisme di sekolah kian menjadi isu yang mendapat perhatian serius orang ramai. Ini berikutan pendedahan satu demi satu klip video yang memuatkan adegan buli yang dilakukan pelajar sekolah tersebar luas di rangkaian laman sosial Facebook dan YouTube serta mendapat liputan meluas media massa. 

Sejumlah rakaman klip video yang didedahkan kebelakangan ini bukan sahaja mempertontonkan aksi ganas melibatkan kumpulan pelajar lelaki, tetapi juga kes buli membabitkan kumpulan pelajar perempuan sebagai si pembuli. 

Laporan demi laporan kes buli pelajar sekolah ini segera menimbulkan kegusaran pelbagai pihak, sama ada pihak pentadbir sekolah, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, perancang polisi, ibu bapa atau orang awam, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar-pakar bidang berkaitan yang ingin diadakan penyelesaian bagi membendung budaya buli yang kian meruncing di halaman sekolah. 

Berikutan itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan dengan harapan dapat menangani gejala itu. Ada yang mencadangkan penempatan polis bantuan di sekolah, ada juga yang menyarankan untuk memperkenalkan semula sistem hukuman rotan, melantik warden asrama sepenuh masa bukanya bebankan guru dengan tugas tersebut, mewujudkan semula talian khas anti buli dan sebagainya. 

Namun begitu, belum pun berhasil menangani kes-kes buli yang berlaku di alam persekolahan, kini kita pula perlu berdepan dengan fenomena buli yang wujud di luar batasan sempadan fizikal yakni perbuatan membuli di alam siber – buli siber. 

Buli siber didefinisikan sebagai penggunaan teknologi komunikasi modern  seperti telefon bimbit, e-mel dan rangkaian laman sosial untuk menghantar teks, gambar atau video yang bertujuan menimbulkan gangguan, ugutan atau memalukan individu lain. 

Sebuah kajian yang dijalankan ke atas 9,651 orang pelajar daripada 459 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mendapati sebanyak 13 peratus (1,255 orang pelajar) dari responden mengaku bahawa mereka sedang menjadi mangsa buli siber, manakala 26 peratus (2,509 orang pelajar) pula mengaku pernah menjadi mangsa buli siber. 

Kajian yang dijalankan oleh CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd pada tahun 2013 ini membuktikan bahawa gejala buli siber semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini. 

Dapatan kajian tersebut juga menggambarkan bahawa pelajar-pelajar kini semakin terdedah kepada pelbagai ancaman, ugutan atau gangguan daripada pembuli siber menerusi telefon bimbit, e-mel, pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial. 

Berbeza berbanding kes buli tradisional, buli siber di alam siber tanpa sempadan fizikal ini adalah begitu mudah berlaku. Siapa-siapa sahaja boleh terdedah menjadi pembuli siber atau mangsa buli siber. Ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa. 

Tambahan pula kanak-kanak dan remaja masa kini suka menjadikan dunia siber sebagai medium hiburan dan menghabiskan waktu senggang mereka. Keadaan sedemikian menjadi mereka sebagai kumpulan yang paling berisiko tinggi menjadi mangsa buli siber berbanding orang dewasa yang lebih matang sifatnya. 

Justeru itu, pendekatan preventif yang proaktif, pendidikan dan kempen kesedaran yang holistik harus diadakan secara konsisten bagi mencegah budaya buli di sekolah dan meningkatkan kesejahteraan siber yang melibatkan kumpulan sasar seperti kanak-kanak dan remaja.  

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

NGO TINGKAT KESEJAHTERAAN SOSIAL RAKYAT

Datuk Mah Siew Keong melancarkan "Budi Berganda" cabaran yang menawarkan geran kepada NGO yang memiliki idea inovasi tangani isu sosial.
Oleh: Kwok Chin Hoe 

Saban hari, sektor pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan misi sosial atau bukan berasaskan keuntungan di negara ini semakin diiktiraf sebagai pemain industri penting dalam penggubalan, perencanaan dan pelaksanaan plan strategik pembangunan negara. 

Ini berikutan peranan aktif entiti bebas ini dalam memenuhi keperluan komuniti, membela kepentingan masyarakat, serta mempromosi dan menggerakkan pembangunan negara ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. 

Selain daripada peranan peting yang dinyatakan di atas, kemampuan NGO menyelesaikan masalah klien dan mensejahterakan kehidupan komuniti sasar menerusi praktis yang mengutamakan elemen inovasi, kos efektif dan bersifat mampan turut mempopularkan pendekatan yang diguna pakai oleh sektor tersebut dalam memacu agenda transformasi negara. 


Pendekatan yang diguna pakai oleh NGO itu bukan saja dapat menjamin bahawa sumber dana dan kapasiti mereka dimanfaatkan secara optimum dan hanya disalurkan kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan sahaja, malah dapat menangani keperluan sosial individu, keluarga atau komuniti sasar secara holistik. 

Setiap NGO yang terdapat di negara ini menangani keperluan sosial yang berbeza. Ada NGO yang fokus menangani isu kemiskinan, pendidikan, pengangguran, kesihatan, keselamatan, dan ada juga NGO yang memberi tumpuan kepada soal kebajikan masyarakat, pembangunan komuniti dan sebagainya. Semua usaha itu menjurus kepada matlamat yang sama iaitu meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat kita. 

Peranan dan sumbangan ketara NGO dalam melengkapi penyampaian perkhidmatan sosial kepada komuniti sasar yang memerlukan, terpinggir atau minoriti di negara ini sememangnya mendapat penghargaan serta pengiktirafan daripada pihak kerajaan.  
Umpamanya, dalam Belanjawan 2015, kerajaan telah mengisytiharkan tahun 2015 sebagai tahun pemerkasaan NGO dan kesukarelawanan, serta memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada sektor NGO berwibawa dalam menanggapi agenda transformasi negara. 

Kunci kepada kejayaan agenda transformasi negara kita bukan hanya menuntut sebuah kerajaan yang cekap dalam mentadbir negara, tetapi juga bergantung pada sektor NGO yang dinamik serta inovasi, sedia berkongsi kepakaran dan pengalaman luas mereka, memikul tanggungjawab membangunkan negara secara bersama, melahirkan generasi cemerlang, keluarga penyayang dan komuniti yang sejahtera. 


Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

PARTISIPASI BELIA DALAM PEMBINAAN NEGARA

Peserta persidangan meha bulat sedang membincangkan Belanjawan Belia 2015 bertemakan
"Pelan Transformasi Belia Negara"

Oleh: Kwok Chin Hoe

Partisipasi warga belia dan pertubuhan belia yang mewakili suara akar umbi dalam pembinaan negara adalah penting kerana mereka diyakini lebih mengetahui masalah sebenar dan keperluan mendesak di peringkat lokaliti yang membebani kehidupan belia. 

Hari ini, belia kita harus mendepani pelbagai cabaran dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Ada belia yang harus berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, keciciran dalam bidang pendidikan, graduan menganggur, dan ada pula belia berkelulusan sijil kemahiran tetapi masih sukar mendapatkan pekerjaan atau pun berdepan dengan kadar bayaran gaji rendah dan isu-isu berbangkit yang lain. 

Tidak kurangnya juga keterlibatan belia berisiko tinggi dalam masalah sosial yang sering dikaitkan dengan kes jenayah, gengsterisme, buli, poteng sekolah, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. 

Keadaan sedemikian menuntut diadakan usaha untuk mengenal pasti punca sebenar kepada setiap permasalahan tersebut, dan kemudiannya pendekatan preventif dan intervensi dapat dilaksanakan bagi bertindak balas ke atas  masalah-masalah tersebut secara menyeluruh. 

Justeru itu, belia dan pemimpin belia yang diyakini lebih mengerti akan inti pati masalah tersebut dan memiliki penyelesaian yang ideal dalam menangani isu berkenaan harus dilibatkan dalam proses perencanaan dan membuat keputusan dalam menentukan kerangka polisi pembangunan belia. 

Ini bagi memastikan setiap dasar, pelan tindakan strategi dan segala inisiatif transformasi atau pembangunan belia yang akan diadakan itu nanti, benar-benar telah mengambil kira input daripada warga belia. Diharapkan solusi dan inisiatif yang telah melalui proses konsultasi bersama belia itu, apabila dilaksanakan nanti akan lebih berhasil dalam membantu dan mengatasi isu dan masalah komuniti belia di negara ini. 
Selain itu, generasi belia yang sering kali kita junjung sebagai generasi masa depan yang akan menerajui negara, pemudi tiang negara juga harus diberi peluang mengambil bahagian secara langsung dalam proses perundingan hal ehwal pembangunan negara.

Penyediaan peluang sedemikian amat penting ke arah menyediakan dan melengkapi belia kita dengan pelbagai pengalaman praktikal dan berguna, untuk dijadikan bekalan tatkala mereka bergelar pemimpin dan pentadbir negara pada masa akan datang. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)

KETEGASAN ADENAN HARAPAN RAKYAT SARAWAK

Oleh: Kwok Chin Hoe

Kini, rakyat di Sarawak boleh merasa lega, bahkan ada yang menyambut dengan penuh kegembiraan berikutan kesungguhan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, terus menerus menyatakan pendirian tegas pentadbirannya mengenai isu-isu berbangkit seperti pembalakan haram, rasuah, hak royalti minyak dan gas serta pelaksanaan hukum hudud membabitkan negeri Sarawak.

Kegiatan pembalakan haram dan rasuah dalam aktiviti pembalakan yang kian meruncing, malah makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga ada pembalak haram yang berani mencerobohi kawasan hutan dilindungi diyakini membawa pelbagai implikasi buruk kepada negeri Sarawak. Keadaan ini menuntut tindakan segera pelbagai pihak, terutamanya kerajaan negeri bagi membendung aktiviti tersebut.  

Aktiviti pembalakan haram yang berlaku bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi, kerugian jutaan ringgit kepada negeri Sarawak, kemusnahan terhadap alam sekitar, ancaman terhadap ekosistem flora dan fauna, tetapi juga telah menjadi barah yang mendatangkan implikasi politik, membentuk imej negatif pihak luar dan persepsi buruk dalam kalangan anak Sarawak terhadap isu berkenaan yang tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh buat sekian lamanya. 

Lantaran itu, Tan Sri Adenan Satem yang menggalas amanah sebagai ketua eksekutif negeri ini sejak Februari lalu bertegas untuk memerangi aktiviti pembalakan haram dan pembabitan suapan rasuah antara pembalak haram dengan anggota penguat kuasa agensi kerajaan yang membuka ruang kepada kegiatan tersebut. 

Buktinya, pelbagai langkah telah diadakan bagi membendung sindiket haram pembalakan seperti membekukan pengeluaran lesen pembalakan baharu sehingga berjaya mengurang kes penyeludupan kayu balak dan pembalakan haram serta akan melengkapkan 50 pegawai penguatkuasaan Jabatan Perhutanan  dengan senjata api bagi operasi membanteras aktiviti itu.  

Semenjak mengambil ahli tampuk pentadbiran negeri, Tan Sri Adenan Satem turut meminta pembayaran royalti minyak dan gas yang lebih tinggi untuk negeri Sarawak daripada kerajaan persekutuan iaitu daripada 5 peratus kepada 20 peratus.

Permintaan tersebut sememangnya mendapatkan sokongan padu anak-anak Sarawak yang menginginkan kekayaan hasil bumi dan sumber asli negeri itu turut dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Sarawak. 

Pembayaran royalti yang lebih tinggi itu nanti dapat dimanfaatkan bagi merancakkan lagi pembangunan di negeri Sarawak, memandangkan peruntukkan belanjawan yang tinggi diperlukan kerajaan negeri bagi membangunkan kawasan luar bandar, membekalkan penduduk di luar bandar dengan kemudahan asas dan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, membasmi kemiskinan tegar serta meningkat kualiti perkhidmatan sosialnya. 

Tidak kurangnya juga pendirian tegas kerajaan negeri dalam usaha memelihara hubungan baik dan kesepaduan penduduk berbilang kaum dan etnik di negeri ini yang harus dipuji. Jaminan bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negeri Sarawak dan janji daripada Ketua Menteri Sarawak bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan Bible dirampas di negeri itu memberi kepastian kepada rakyat berlatar belakang pelbagai anutan agama bahawa mereka dapat terus hidup bersama secara aman dami dan harmoni seperti sedia kala. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) (Twitter : @kwokchinhoe) (email : chinhoekwok@gmail.com)

Popular Posts